Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya tiada peranan gulingkan k'jaan BN, alasan bertulis tak tepat'

Bekas peguam negara (AG) Tommy Thomas berhujah bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain tidak boleh membicarakan dengan adil saman yang difailkan Shahrir Ab Samad terhadapnya.

Ini, katanya kerana pesuruhjaya kehakiman itu telah membuat dapatan tidak tepat mengenai dirinya yang didakwa mengakui bahawa dia berperanan dalam menjatuhkan kerajaan pimpinan Umno pada 2018.

Dalam afidavit yang memohon perlucutan, Thomas mendakwa pesuruhjaya kehakiman itu membuat dapatan yang salah tentang petikan dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness” pada 2021.

Dakwanya, Roz Mawar merujuk kepada petikan pada halaman 219 dan 220 buku itu, yang memperincikan pengalaman Thomas pada hari pengundian pilihan raya umum ke-14.

“Suasana adalah ceria, tenang dan penuh keyakinan. Saya pasti bahawa kita berada di puncak sejarah. Gabungan BN yang amat dibanggakan, yang telah mentadbir Malaysia secara berterusan selama 61 tahun itu, berada di ambang kekalahan.

"Sejarah sedang dilakarkan, dan kami adalah sebahagian daripadanya."

Thomas menjelaskan petikan yang dikatakan dirujuk oleh Roz Mawar hanyalah mengenai proses demokrasi pilihan raya umum yang mana gabungan BN pimpinan Umno kalah.

“Mana-mana orang munasabah membaca ini akan membuat kesimpulan seperti itu. Mereka tidak akan membuat kesimpulan bahawa saya 'mengakui' mempunyai peranan dalam menjatuhkan kerajaan BN, seperti yang ditentukan oleh Roz Mawar.

“Saya tidak pernah terlibat dalam politik atau menjadi ahli mana-mana parti politik.

“Justeru, penemuan Yang Arif bahawa saya ‘mengakui’ dalam buku saya, bahawa saya berperanan dan berusaha untuk menjatuhkan kerajaan BN adalah tidak berasas sama sekali,” kata Thomas dalam afidavit yang dilihat oleh Malaysiakini.

Dapatan itu terkandung dalam alasan bertulis Mahkamah Tinggi ketika Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman Shahrir pada 3 Julai lalu.

Shahrir yang juga bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu memfailkan saman terhadap Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan atas dakwaan melakukan pendakwaan berniat jahat.

Thomas yang memfailkan permohonan supaya Roz Mawar menarik diri mendengar kes saman terbabit pada 26 Ogos lalu, turut memohon prosiding ditangguhkan, sementara permohonannya dan rayuan berkaitan diputuskan mahkamah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS