Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan RCI Batu Puteh akan dibahas di Parlimen
Diterbitkan:  Aug 29, 2024 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pertikaian kedaulatan melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said memaklumkan perkara itu selepas pengerusi RCI Raus Sharif membentangkan laporan itu ketika mesyuarat kabinet semalam.

“Jemaah menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya laporan suruhanjaya ini dibentangkan di Parlimen dan syor-syor yang dikemukakan dibahaskan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Laporan itu dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 18 Jun lalu.

Pada 27 Februari lalu, Azalina berkata RCI itu - yang dijalankan secara tertutup - bertujuan mendapatkan penyelesaian dan berkaitan isu kedaulatan negara, bukannya untuk menyalahkan mana-mana pihak.

Pada 28 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.

ICJ juga memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Malaysia memohon semakan terhadap keputusan itu pada 2 Februari 2017.

Namun, pada Mei 2018, kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad menarik balik permohonan hanya dua minggu sebelum pendengaran dijadual berlangsung, iaitu pada 11 Jun 2018.

Mahathir memberi keterangan ketika sidang tertutup RCI pada 12 Jun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS