Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Melampau, kurang cerdik dakwa rakyat mati sebab tak ada beras'
Diterbitkan:  Aug 29, 2024 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Berdepan dengan dakwaan pemimpin wanita PAS mengenai 'kebuluran' di negara ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahkan meminta individu terbabit menyerahkan senarai rakyat yang memerlukan bantuan segera.

Kata Rafizi dia sedia meneliti senarai tersebut dan Hawa Yaakub boleh menghantarnya melalui e-mel yang tersedia pada laman sesawang Kementerian ekonomi.

Menegaskan dakwaan ketua penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka itu mahu menggambarkan rakyat negara sedang berdepan dengan kekurangan beras hingga membawa mati, Rafizi berkata, usaha kerajaan menamatkan kemiskinan tegar terus berjalan.

"[...] Ia lebih baik daripada yang diusahakan PN (sebelum ini).

"Membuat tuduhan bahawa rakyat sedang mati kelaparan sebab tiada beras ni sama ada melampau, atau kurang cerdik," katanya di media sosial.

Mengiringi hantaran tersebut ialah paparan tangkap layar dakwaan Hawa: "Semasa MCO (perintah kawalan pergerakan - PKP) beras tempatan boleh diperolehi dan tiada sesiapa mati akibat kelaparan. Dalam era Madani beras tempatan ghaib dan orang ramai mati akibat kelaparan."

Terdahulu Hawa dipercayai mengulas kes kematian seorang lelaki warga emas berusia 70-an dan anaknya - seorang OKU - di Sungai Abong, Johor.

Kedua-dua mereka ditemui meninggal dunia pada Jumaat lalu. Seorang lagi anak lelaki terbabit - juga OKU dan berusia 40-an - didapati berada dalam keadaan lemah akibat kelaparan.

Laporan Kosmo! mengenai kejadian itu memberi gambaran kes tersebut berlaku kerana keluarga terbabit mengalami kelaparan tetapi setakat ini pihak berkuasa belum melaporkan punca kematian.

Keluarga itu tidak mempunyai sumber pendapatan tetap namun menerima bantuan daripada NGO tempatan.

Isu bekalan beras tempatan pernah menjadi polemik sebelum ini sehingga membawa kepada campur tangan kerajaan.

Untuk rekod ketika PKP dilaksanakan untuk mengekang wabak Covid-19, tiada isu kekurangan bekalan beras tempatan, namun suasana ketika itu dilatari oleh masalah isi rumah yang kehabisan makanan.

Ia mendorong munculnya kempen "bendera putih" iaitu isyarat digunakan mana-mana pihak untuk menunjukkan mereka terdesak dan perlukan bantuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS