Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harakahdaily janji lebih berhati-hati siar berita
Diterbitkan:  Aug 29, 2024 10:22 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily, memberitahu mereka "berbesar hati" mendapat teguran daripada pihak kerajaan ekoran laporan yang cuba menggambarkan kegagalan kakitangan kerajaan bertugas seperti sepatutnya.

Menurut kenyataan portal itu, mereka bertekad untuk terus bekerjasama dengan rakyat Malaysia bagi menyampaikan suara mereka dengan matlamat mencapai keamanan dan kesejahteraan bersama.

"Terima kasih atas maklum balas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tentang penggunaan gambar yang dikongsi oleh pihak Harakahdaily dalam berita bertajuk ‘Dah jam 9 pagi, seorang pun tiada di kaunter’.

"Susulan berita yang disiarkan, pihak Harakahdaily berbesar hati menerima teguran daripada pihak berwajib dan akan lebih berhati-hati dalam mengeluarkan berita yang sahih," katanya.

Semalam portal itu menyiarkan laporan melibatkan dakwaan kaunter yang terbiar kosong walaupun didakwa waktu ketika itu sudah jam 9 pagi. Laporan itu memetik salah satu hantaran akaun Facebook yang terkenal.

Lazimnya sesebuah pejabat kerajaan akan mula beroperasi seawal jam 8 pagi.

Bagaimanapun JPA kemudian membuat teguran pada ruangan komen Facebook Harakahdaily dengan menyatakan gambar tersebut - yang dikaburkan sebahagiannya - adalah imej lama.

Menurut JPA, imej itu adalah siaran pada 2022 dan 2023.

Semakan Malaysiakini kemudian mendapati hantaran asal gambar berkenaan sudah pun dipadam.

Bagaimanapun perhatian orang ramai terus tertumpu kepada tangkap layar yang tular kemudian. Ia antara lain menunjukkan gambar tersebut ialah gambaran salah satu pejabat syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Laporan Malaysiakini pada 24 Julai 2023 menyatakan bagaimana kerajaan Kelantan menarikan kaunter AKSB di Pasir Mas belum beroperasi walaupun ketika itu ia sepatutnya sudah dibuka.

Menjawab rungutan orang awam, Mohd Amar Abdullah - yang menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika itu - menjelaskan sudah ada kakitangan AKSB bertugas pada waktu tersebut.

Bagaimanapun, kata Mohd Amar, secara kebetulan ketika pengguna terbabit datang petugas pergi ke tandas sebelum datang semula ke kaunter berkenaan pada jam 9.30 pagi.

"Rupanya kakitangan keluar sekejap untuk ke tandas dan kebetulan pelanggan itu datang, jadi (kaunter) kosong. Silapnya kakitangan tidak letak notis atas kaunter," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS