Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga Masjid India gesa kerajaan ambil penyelesaian konkrit

Berikutan kejadian tanah mendap di Masjid India yang membimbangkan, peniaga di kawasan itu memohon campur tangan kerajaan segera untuk menyelamatkan kawasan tumpuan pelancong berkenaan.

Sejak kejadian Jumaat lalu, peniaga mendapati kawasan itu sunyi sekali gus menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada aliran pengunjung yang berterusan.

Bagi Sarine Shamima Bahurdeen, 47, yang merupakan pekerja kedai emas yang telah bekerja di Masjid India selama 20 tahun, kejadian itu telah mencetuskan ketakutan yang meluas dalam kalangan pelancong, menghalang mereka daripada melawat kawasan itu.

"Saya berasa takut dan gementar, sama seperti orang lain. Sekarang, apabila seseorang menyebut 'Masjid India,' orang ramai rasa takut.

“Pelanggan kami biasa datang ke sini pada hari Jumaat dan hujung minggu, tetapi sekarang, kami jarang melihat mereka,” kata Sarine kepada Malaysiakini.

Jumaat lalu, seorang pelancong, Vijayaletchumy berusia 48 tahun dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, terjatuh ke dalam lubang yang terbentuk akibat tanah mendap sedalam 8 meter dan hilang.

Ketika misi mencari diteruskan, satu lagi lubang terbentuk hari ini, hanya 50 meter dari kejadian pertama.

Seorang lagi peniaga, Siti Aishah Salvador, 44 tahun, mendakwa bahawa jumlah pengunjung di kawasan itu telah menurun kira-kira 50 peratus.

"Saya benar-benar takut dan berasa seperti saya mempertaruhkan nyawa saya dengan datang ke sini," katanya.

"Tetapi ini adalah tempat saya cari rezeki, jadi saya terus berdoa kepada Tuhan, semoga semua orang dilindingi," katanya.

Sebelum kejadian itu, Aishah berkata ramai pelancong, tetapi kini, hanya peniaga yang tinggal.

Ketika Sarine dan Aishah secara terbuka menyuarakan kebimbangan mereka, sekurang-kurangnya tiga peniaga lain enggan bercakap dengan Malaysiakini, bimbang komen negatif boleh menghalang aliran pelancong yang sudah semakin berkurangan.

Justeru, Sarine dan Aishah menyeru kerajaan segera mengambil tindakan dan memulihkan keselamatan di Masjid India.

Dengan penurunan ketara dalam pelancong, Sarine menyatakan kebimbangan tentang kesan ke atas perniagaan.

“Pemilik perniagaan masih perlu membayar sewa dan gaji, dan kekurangan pelancong amat menjejaskan kami.

"Saya harap kerajaan akan bertindak pantas untuk mendapatkan semula kepercayaan orang ramai dan membawa pengunjung kembali ke kawasan itu. Ini adalah tempat pelancongan utama, jadi kerajaan mesti bergerak cepat," katanya.

Aishah menyuarakan kebimbangan sama dan menggesa kerajaan untuk membaiki jalan serta turapan di kawasan itu bagi menjadikannya lebih selamat.

“Saya berharap kerajaan membantu peniaga kecil seperti saya dengan meyakinkan pelancong bahawa kawasan itu selamat.

"Mereka harus baiki jalan, perbaiki dan perkukuh kawasan yang tidak konkrit. Mereka mesti melakukan yang terbaik," tambahnya.

Sementara itu, pengawal keselamatan berusia 65 tahun, Ramalingam Raju menggesa orang ramai supaya mempercayai pihak berkuasa tempatan untuk menangani masalah itu.

"Sehari sebelum kejadian, saya perasan beberapa bangku senget sedikit. Saya bimbang sesuatu berlaku, jadi saya mengelak kawasan itu. Keesokan harinya, saya membaca tentang tanah mendap itu.

"Saya percaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan isu itu. Biarkan mereka menjalankan tugas mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS