Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat penerbangan perlu bayar balik harga penuh jika lewat 5 jam
Diterbitkan:  Aug 28, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Syarikat penerbangan perlu mengembalikan bayaran penuh bagi kelewatan lima jam dan lebih kepada pengguna yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut Loke, langkah itu susulan pembaharuan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang akan diwarta dan berkuat kuasa Isnin ini.

Katanya, ia adalah pilihan tambahan dengan pengguna perlu memilih sama ada mahu bayaran balik atau menikmati kemudahan penginapan hotel dan pengangkutan jika pesawat mereka tertunda selama lima jam atau lebih.

“Untuk gangguan penerbangan yang disebabkan oleh keadaan luar biasa, syarikat penerbangan dikehendaki terlebih dahulu menawarkan bayaran balik dalam mod bayaran asal. 

“Syarikat penerbangan juga boleh menawarkan mod bayaran balik alternatif seperti baucar perjalanan atau credit shell.

“Bagaimanapun, pengguna mempunyai hak untuk memilih mod bayaran balik yang mereka kehendaki,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Loke berkata tempoh bayaran balik kepada pengguna ialah selama 30 hari dan ia bergantung pada kaedah pembayaran yang telah dilaksanakan penumpang. 

Loke berkata penambahbaikan lain dalam MACPC ialah bayaran balik mandatori surcaj bahan api, cukai, fi dan caj seperti levi pelepasan, Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), fi karbon, dan lain-lain. 

“Ini terpakai untuk tiket yang mempunyai nilai bayaran balik dan tiket yang tidak mempunyai nilai bayaran balik bagi penerbangan yang tidak diambil oleh pengguna,” katanya. 

Melalui penambahbaikan baharu itu juga, beliau berkata semua penerbangan yang dibatalkan mesti dikeluarkan daripada semua sistem penempahan, termasuk platform ejen pelancongan dalam talian dan luar talian. 

“Sebarang denied boarding kerana tempahan penerbangan berlebihan perlu dimaklumkan kepada pengguna di kaunter daftar masuk atau di pintu berlepas. Menafikan pengguna yang telah menaiki pesawat adalah dilarang.

“Had masa untuk pengguna mengemukakan aduan kini dilanjutkan daripada satu tahun kepada dua tahun,” katanya.

Berkuat kuasa Januari tahun depan, Loke berkata sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar melainkan ia disebabkan hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. 

Katanya, kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum sebanyak RM200,000, dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan.

Loke berkata sebanyak RM4.7 juta penalti telah dikenakan terhadap syarikat penerbangan kerana kegagalan mematuhi MACPC sejak 2016. 

Menurutnya, melalui penambahbaikan MACPC, pengguna penerbangan boleh mendapat jaminan perlindungan yang dipertingkatkan untuk perjalanan udara. 

“MAVCOM juga akan meneruskan pengawasan terhadap prestasi syarikat penerbangan untuk memastikan pematuhan pada penanda aras industri yang telah ditetapkan bagi manfaat pengguna,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS