Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amran Fans 'mohon maaf' sehari selepas dituntut buat penjelasan
Diterbitkan:  Aug 28, 2024 2:27 PM
Dikemaskini: 6:37 AM

Selepas dituntut membuat penjelasan kerana memuat naik video wanita menari secara terbuka, pengendali halaman Facebook Amran Fans hari ini tampil 'memohon maaf' secara terbuka.

Dalam hantaran terkini akaun berkenaan - yang biasanya memuatkan hantaran bersifat hasut maya atau satira - 'mengakui' terdapat kesalahan dalam hantaran video berkenaan.

Kata pengendali akaun itu, mereka mengambil masa beberapa hari untuk meneliti kesalahan itu.

"Akhirnya Amran akur bahawa Amran telah melakukan satu kesalahan.

"Ya benar dalam hantaran itu Amran tidak menyebut video itu berlaku semalam, minggu lepas atau bulan lepas. Tak sebut.

"Tetapi Amran tetap ingin memohon maaf kerana Amran berasa Amran telah membuat satu kenyataan yang salah apabila mengatakan bahawa Bachok itu di USA.

"Selepas tular statement (kenyataan) dari seorang exco Kelantan semalam barulah Amran tahu bahawa Bachok itu di Kelantan. Sekali lagi maafkan Amran," katanya sinis.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, menuntut penjelasan pengendali akaun Facebook Amran Fans berkenaan tujuan dan niat rakaman video itu dimuat naik semula.

Ceramah 20 tahun lalu

Kata Adun Guchil itu lagi, video tersebut memberikan gambaran kurang baik kepada penduduk Bachok dan Majlis Daerah Bachok kerana pihak berkuasa seolah-olah membenarkan persembahan kurang senonoh.

"Sedangkan persembahan wanita sedemikian sudah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak bahkan penyanyi wanita tersebut juga sudah lama tidak aktif dalam persembahan sedemikian, dan sudah berhijrah ke arah yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.

Semakan mendapati video tersebut memaparkan seorang wanita berpakaian baju kurung dan bertudung sedang bernyanyi dikir barat sambil menari seperti penyanyi dangdut.

Persembahan itu turut disertai dua lelaki.

Video berdurasi selama 29 saat itu dimuat naik di Facebook Amran Fans semalam, dengan kapsyen 'Bachok, USA'.

Ia mendapat reaksi lebih 5,000 pelbagai tanda emoji dan hampir 500 perkongsian dengan tontonan lebih 500,000 kali.

Dalam satu hantaran berasingan Amran Fans mengemukakan pertanyaan berkaitan hantaran video sama.

"Antara video Anwar Ibrahim janji minyak (turun harga) RM1.50 dengan video seorang wanita menari dekat Bachok, USA, video manakah yang lebih lama? 10 markah," tulisnya.

Ia merujuk kepada klip video ucapan Anwar semasa menjadi pembangkang dan mengetuai Pakatan Rakyat berceramah mengenai isu harga minyak semasa.

Ceramah itu dirakam kira-kira 20 tahun lalu dan PAS merupakan sebahagian daripada parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat.

Klip berkenaan sering digunakan pihak pembangkang untuk mempersenda kerajaan terutama apabila melibatkan isu kos sara hidup dan pengapungan harga minyak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS