Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH Pahang perlu lebih banyak ruang dalam kerajaan
Diterbitkan:  Aug 28, 2024 11:15 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

PH Pahang mahu agar lebih banyak ruang diberikan kepada pendukung parti itu dalam struktur kerajaan perpaduan di negeri berkenaan demi membentuk keutuhan kerjasama menghadapi PRU akan datang.

Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh, berkata gabungan itu wajar diberi pengiktirafan selari dengan perjanjian persefahaman penubuhan kerajaan perpaduan di Pahang.

"Kita (PH) akan terus mendukung persefahaman bersama yang ditandatangani dan akan terus memperkukuhkan kerajaan perpaduan di Pahang.

"Sesungguhnya pembentukan kerajaan Pahang hari ini adalah hasil sumbangan kerusi dimenangi PH dalam PRU ke-15," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan media itu dikeluarkan selepas mesyuarat PH Pahang yang berlangsung semalam. Fuziah selaku Pengerusi PH Pahang yang baru menggantikan Amirudin Shari mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Dalam mesyuarat itu juga, PH Pahang menyatakan sokongan penuh kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan berikrar akan mempertahankan institusi raja-raja Melayu.

Sekretariat PH Pahang dalam masa yang sama turut merakamkan penghargaan kepada Amirudin kerana memainkan peranan penting dalam penubuhan kerajaan perpaduan di Pahang selepas PRU lalu.

Kerajaan perpaduan Pahang ditubuhkan selepas keputusan PRU ke-15 menyaksikan tiada gabungan yang dominan memenangi kerusi dewan undangan negeri (DUN) sehingga memaksa kerjasama antara parti dibentuk.

Disebabkan DUN Pahang mempunyai 42 kerusi, sesebuah parti atau gabungan perlu memenangi sekurang-kurangnya 22 daripada kerusi tersebut untuk membentuk kerajaan.

Pada 2022 apabila PRU diadakan, BN dan PN masing-masing memenangi 17 kerusi DUN, manakala PH lapan kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS