Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat penemuan mayat terbakar dekat stesen KTM Serdang

Mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar pada badan ditemukan berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan berkata berdasarkan dokumen yang ditemukan di tempat kejadian, mangsa dipercayai warga Indonesia berusia 43 tahun, dikenali sebagai Udikalifan.

“Polis menerima laporan pada 11.45 pagi tadi mengenai penemuan mayat berkenaan oleh seorang wanita tempatan, di dalam semak selepas terowong pusingan U berhampiran KTM Serdang.

“Tiba di lokasi, didapati mayat dalam keadaan terbakar tetapi tidak rentung sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anbalagan berkata mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis juga sedang mendapatkan pengesahan identiti mayat berkenaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS