Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan perkenal akta untuk kurangkan kerenah birokrasi - Rafizi

Kerajaan akan membentangkan Akta Komitmen Kecekapan Kerajaan pada hujung tahun ini bagi mengurangkan kerenah birokrasi, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Rafizi berkata ia merupakan langkah pertama yang penting untuk menguruskan peraturan di negara ini.

"(Akta) ini akan mengikat agensi dan kementerian untuk memastikan, contohnya, bagi setiap satu peraturan yang diperkenalkan, satu peraturan lain akan dikeluarkan," katanya ketika berucap pada pelancaran laporan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) hari ini.

Tambahnya, undang-undang sedemikian adalah perkara biasa di negara lain dan amat diperlukan di Malaysia sebagai tonggak kepada pembangunan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pada masa ini, mereka yang ingin memulakan perniagaan sendiri perlu melalui empat atau lima agensi terlebih dahulu, yang kesemuanya mempunyai prosedur sendiri yang panjang, katanya.

Dia berkata komitmen kerajaan untuk mengurangkan peraturan akan menjadi yang pertama bagi negara ini.

Menurutnya lagi, Kementerian Ekonomi telah mengambil masa setahun mengusahakan undang-undang itu, yang telah dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara dua kali setakat ini.

"Keputusan kerajaan ialah komitmen untuk memudah cara perniagaan kita.

"Kita akan mengambil langkah melalui satu akta dan akta ini akan memberi garis panduan ataupun parameter kepada kerajaan mengenai komitmen kita untuk memudah cara kerenah birokrasi. Ia lebih kurang selari dengan satu akta yang telah diperkenalkan tahun lepas iaitu Akta Kebertanggungjawaban Fiskal," katanya.

Dalam sidang media selepas acara itu, Rafizi memberitahu pemberita bahawa kementeriannya telah menyiapkan Rangka Tindakan Negara Menua.

Menurutnya lagi, ia akan menjadi fokus utama Rancangan Malaysia Ke-13.

“Kementerian Ekonomi telah pun siapkan keseluruhan laporan dan plan rancangannya yang dibangunkan bersama-sama dengan World Bank (Bank Dunia).

"Ia akan dibentangkan di Majlis Tindakan Ekonomi Negara dalam bulan November 2024 dan akan menjadi salah satu daripada tumpuan utama di dalam Rancangan Malaysia ke-13,” katanya.

Tambahnya, selepas perbincangan dilakukan di peringkat kerajaan, pelan tindakan itu akan dibentangkan kepada umum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS