Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelesenan media sosial diteruskan di sebalik bantahan gergasi IT

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan kerajaan akan meneruskan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di sebalik bantahan daripada Gabungan Internet Asia (AIC).

Malah katanya, AIC tidak mewakili semua platform media sosial yang terlibat sebaliknya hanya sejumlah syarikat sahaja.

“Yang jelas mereka tak mewakili semua platform tetapi sejumlah beberapa (syarikat).

“Saya berpendirian dalam perbincangan dengan wakil syarikat-syarikat sewaktu bertemu di Singapura (sebelum ini) mereka memberikan reaksi positif dan saya kekal dengan pendirian itu.

“Tidak (tangguh rangka kerja),” katanya pada sidang media pada program Temu Mesra Masyarakat Orang Asli Kampung Kelinsing di Sepang, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas surat dikeluarkan oleh AIC yang bagi membantah rancangan kerajaan untuk melesenkan platform media sosial.

Surat terkini oleh gergasi IT itu termasuk Google, Meta, Amazon dan Apple membantah rancangan kerajaan untuk melesenkan media sosial telah diperhalusi berbanding versi asalnya.

Terdahulu AIC menyifatkan pelesenan itu sebagai "tidak praktikal" sebelum menukar ayat itu kepada ia akan "memberi kesan buruk kepada inovasi".

Selain itu, surat tersebut juga menghapuskan kenyataan yang menyebut disebabkan kekurangan rundingan "tiada platform yang boleh diharapkan untuk mendaftar di bawah syarat-syarat ini."

Mengulas lanjut Fahmi berkata pihaknya menyerahkan kepada AIC untuk menjawab mengenai tiga surat berlainan yang diutuskan kepada perdana menteri berhubung rancangan kerajaan itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut menyifatkan surat-surat berkenaan sebagai ‘agak pelik’.

“Ia agak pelik malah agak janggal apabila Grab mengeluarkan kenyataan mereka tak ada kaitan dan tak dibincang. Jadi kita serah kepada AIC untuk jawab.

“Satu daripada 17 syarikat dalam surat pertama iaitu Fedex memang dilesenkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Memang sudah dilesenkan.

“Maksudnya ada kerangka kawal selia dan saya dimaklumkan pihak MCMC bertemu dengan AIC pada Mei lalu dan mereka minta masa sebulan untuk berikan pandangan, tetapi mereka telah meminta dilanjutkan bukan sekali tapi beberapa kali sehinggalah mereka berikan surat itu,” jelasnya.

Tambah Fahmi, kerajaan kekal bersikap terbuka dan membuka ruang bagi perbincangan lanjut mengenai perancangan kawal selia media sosial itu.

Katanya lagi, mungkin pihak AIC belum lagi diberikan taklimat mengenai garis masa yang telah ditetapkan MCMC, justeru ruang untuk perbincangan masih ada.

“Kerajaan Malaysia masih berpendirian bahawa platform media sosial dan sistem pesanan internet perlu dikenakan kerangka kawal selia untuk menjamin internet yang lebih selamat bagi rakyat Malaysia.

“Kita ada meneliti semua aspek, di Singapura (sebelum ini) pihak syarikat kata bersedia mengadakan perbincangan, kita akan teruskan perbincangan,” katanya sambil menambah kerajaan Malaysia sangat terbuka untuk mengadakan perbincangan.

Mengambil kira pelbagai pandangan, Fahmi turut menegaskan sekiranya syarikat terbabit mahu beroperasi di negara ini mereka perlu hormat dan patuh kepada undang-undang Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS