Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dr Mahathir Mohamad menegaskan dia tidak malu berketurunan India namun tetap berpendirian perkara itu tidak menafikan hakikat bahawa dia adalah seorang Melayu.

Bekas perdana menteri itu memberi keterangan dalam perbicaraan di mahkamah berhubung saman fitnah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Mahathir memfailkan saman itu berhubung dakwaan bahawa nama pada Kad Pengenalan (IC) lamanya ialah 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty'.

“Saya tidak malu untuk mengatakan saya berdarah India, tetapi itu tidak bermakna saya bukan orang Melayu,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Ahli politik berusia 99 tahun itu memfailkan saman berhubung ucapan Ahmad Zahid, yang juga presiden Umno pada mesyuarat Umno bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Mahathir mendakwa ketika ucapan itu, Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri ketika itu menyatakan nama asal pada IC Mahathir ialah “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Bekas perdana menteri itu mendakwa dakwaan nama “Kutty” itu seolah-olah menunjukkan dia seorang oportunis bukan Melayu yang berpura-pura mengaku Melayu demi mencapai kepentingan politik.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Sharul Fazli Kamarulzaman hari ini, Mahathir mengulangi bahawa dakwaan itu seolah-olah menunjukkan dia menipu orang lain.

“Implikasinya ialah saya tidak menggunakan nama itu (Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty) tetapi Mahathir Mohamad (untuk menunjukkan bahawa) saya menipu.

"Ini bukan soal sama ada nama Melayu atau Islam atau tidak. Nama (Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty) bukan nama sebenar saya dan saya tidak berbohong. Nama saya Mahathir Mohamad," tegas negarawan tua itu.

Ahli politik veteran itu berkata meskipun keturunannya boleh dikesan berasal dari Kerala, India, namun dia tidak membincangkan dengan keluarganya sama ada bapa atau datuknya berasal dari sana.

“Sejak awal ada kata saya (jika) pergi Pakistan, saya orang Pakistan, pergi Bangladesh saya orangBangladesh, pergi Sri Lanka, orang sri langka, that is their statement which is not true (itu kata mereka yang mana adalah tidak benar).

"Saya bukan dari mana-mana negara ini, bapa saya juga bukan dari negara-negara ini. Dia dilahir dan daftar sebagai orang Melayu oleh kerajaan Malaysia," kata Mahathir merujuk beberapa artikel dan buku yang membincangkan mengenai keturunannya.

Tewas pada PRU15

Bekas ahli parlimen Langkawi itu mendakwa kenyataan Ahmad Zahid pada 2017 menjadi faktor utama kegagalannya mengekalkan kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Gan Techiong disambung petang ini.

Dalam pernyataan pembelaannya, Ahmad Zahid menafikan bahawa kenyataan itu berniat jahat, memfitnah atau menjejaskan reputasi awam Mahathir.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa nama pada IC itu merujuk kepada individu berdasarkan maklumat dalam salinan lama dokumen pengenalan diri.

Ahli politik berusia 71 tahun itu mendakwa dia tidak mempunyai kawalan ke atas mana-mana penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

Mahathir diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mior Nor Haidir Suhaimi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS