Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah: Kebenaran akan menang, kezaliman PH-BN tak akan berjaya
Diterbitkan:  Aug 27, 2024 2:20 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata pertuduhan di bawah Akta Hasutan yang dikenakan terhadap Muhyiddin Yassin tidak akan berjaya kerana menurutnya bekas perdana menteri itu hanya menyatakan fakta.

Dalam kenyataan Facebook, ketua pembangkang itu mendakwa undang-undang yang sebelum ini ditentang Pakatan Harapan (PH) kini digunakan untuk menakut-nakutkan pemimpin Perikatan Nasional.

“Kebenaran akan menang insya-Allah dan kezaliman PH-BN yang cuba memperalatkan Akta Hasutan 1948 untuk menutup mulut pemimpin Perikatan Nasional (PN) daripada bercakap benar tidak akan berjaya.

"Apa yang diucapkan Muhyiddin Yassin dalam kempen PRK Nenggiri adalah fakta, tetapi kerajaan PH-BN nampaknya tidak senang apabila rakyat Malaysia mengetahui hakikat yang sebenarnya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Awal hari ini, Muhyiddin minta dibicarakan atas dakwaan membuat kenyataan menyakitkan hati terhadap bekas Agong dalam ucapan kempen semasa PRK Nenggiri.

Harian Metro melaporkan bahawa pihak pendakwaan meminta ikat jamin ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan perintah larangan (gag order) dikenakan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah perkara itu dan berhujah untuk ikat jamin RM5,000 yang dianggap memadai - seperti yang dikenakan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang turut didakwa menghasut terhadap Sultan.

Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Gua Musang di hadapan hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Nik Mohd Tarmizie kemudian menetapkan ikat jamin RM5,000 dan menolak perintah larangan itu.

Mengulas lanjut, Hamzah melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan peguam bela yang diketuai Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin kerana menjalankan tugas dengan cekap dan cemerlang.

“Sesungguhnya Bersatu dan PN berdiri teguh bersama Muhyiddin dalam menentang kezaliman ini dan seterusnya menegakkan idealisme perjuangan demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS