Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pak Din Reformasi kembali ke rahmatullah
Diterbitkan:  Aug 27, 2024 1:42 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Aktivis reformasi Badaruddin Ismail yang dikenali sebagai Pak Din dikalangan teman-temannya menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi ini pada usia 80 tahun.

Jenazah allahyarham disolatkan di Masjid Al Ansar Taman Keramat AU2 sebelum bersemadi di Tanah Perkuburan Islam Keramat.

Menurut aktivis PKR Rozan Mat Rasip, pihak keluarga memaklumkan allahyarham meninggal dunia kerana masalah kesihatan.

"Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan-insan yang disayangiNya," kata Rozan pada hantaran di media sosial.

Dia pernah ditahan dibawah - undang-undang penahanan tanpa bicara yang telah dimansuhkan - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada April 2001.

Mereka yang turut ditahan ketika itu termasuk bekas pemimpin PKR Tian Chua dan Badrul Amin Baharom, penulis Hishammuddin Rais dan bekas Adun Hulu Kelang Saari Sungib.

Pada masa itu, pihak berkuasa semasa pentadbiran pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri mendakwa bahawa kumpulan tersebut memiliki pelancar roket dan telah bertemu dengan gerila pemisah Thai.

Pada bulan Jun tahun sama, Malaysiakini menerbitkan surat ditulis oleh Tian Chua dari pusat tahanan Kamunting yang menegaskan: "Cerita tentang bom dan pelancar roket itu sudah tentu satu pembohongan, yang saya rasa IGP sendiri tidak percaya."

Namun, pada tahun 2014, mahkamah mengarahkan agar lima daripada mereka dibayar ganti rugi sebanyak RM4.5 juta berkaitan dengan penahanan mereka.

Pada tahun 2016, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak polis dan kerajaan terhadap keputusan tersebut.

Hari ini, kelihatan ramai aktivis dan pemimpin politik hadir solat jenazah dan pengkebumian hari ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham.

Antara yang hadir termasuk Shamsul Iskandar Md Akin, pembantu politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas pengerusi PSM Nasir Hashim, dan rakan-rakan bekas tahanan Tian Chua, Hishammuddin Rais dan Badrul Amin.

Semasa gerakan reformasi yang tercetus selepas keputusan Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1998, Badaruddin sebahagian pasukan khas NGO Suaram yang memantau dan mengendalikan kes tangkapan semasa protes tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS