Paling Popular
Terkini

Ahli politik berbohong apabila ada peluang berbuat demikian, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas presiden Umno itu memberi keterangan dalam perbicaraan di mahkamah hari ini berhubung saman fitnah terhadap presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menyaman Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhubung dakwaan dia memegang Kad Pengenalan (IC) dengan nama "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Mahathir menjelaskan, walaupun tidak menyebut namanya secara khusus, dia percaya AHmad Zahid merujuk kepada dirinya ketika berucap pada mesyuarat Umno Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Ahli politik berusia 99 tahun itu mendakwa semasa ucapan itu, Ahmad Zahid yang merupakan menteri dalam negeri ketika itu didakwa mengorek isu salinan IC lama, yang didakwa menyebut nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

“Ahli politik tidak akan menyebut nama orang itu secara terus demi menjaga diri mereka daripada disaman.

"Maksud siapa itu clear to everyone on earth (jelas kepada semua orang).

"Orang politik ada peluang kalau nak bohong dia bohong," kata Mahathir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi.

Bekas perdana menteri itu mendakwa panggilan 'Kutty' itu seolah-olah menunjukkan dia bukan Melayu yang berpura-pura menjadi Melayu demi kepentingan politik.

Bagaimanapun, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Sharul Fazli Kamarulzaman, Mahathir mengaku tidak tahu maksud perkataan 'Kutty'.

Sharul: Kutty ada apa-apa maksud dalam kamus Dewan Bahasa?

Mahathir: Kutty bukan perkataan nama Melayu.

Sharul: Kutty tiada maksud dalam kamus?

Mahathir: Tak tahu.

Plaintif mengaku tidak pernah hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menjelaskan kewujudan mana-mana IC lama yang didakwa mungkin mempunyai nama "Mahathir a/l Iskandar Kutty".

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun mengulangi bahawa dakwaan itu adalah mengarut kerana dia seorang Melayu Islam yang berdaftar dengan nama Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Mahathir memberi keterangan bahawa Zahid, 71, telah berbohong kerana menyatakan tiada siapa yang pernah menyebut bekas perdana menteri itu sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

Perbicaraan di hadapan pesuruhjaya kehakiman Gan Techiong bersambung pagi esok.

Dalam pernyataan pembelaannya, Ahmad Zahid menafikan bahawa kenyataan itu berniat jahat, memfitnah atau menjejaskan reputasi Mahathir.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa nama pada IC merujuk kepada individu berdasarkan maklumat dalam salinan lama dokumen pengenalan diri.

Presiden Umno itu mendakwa dia tidak mempunyai kawalan ke atas mana-mana penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media berkenaan.

Mahathir diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Mior Nor Haidir Suhaimi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS