Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekalan insulin manusia mencukupi hingga akhir tahun

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata bekalan insulin untuk manusia masih mencukupi dan boleh bertahan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini.

Menterinya Dzulkefly Ahmad juga memberi jaminan kekurangan tersebut belum mencapai tahap membimbangkan.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya pagi ini, Dzulkefly berkata usaha sedang dijalankan untuk menambah bekalan bahan itu secepat mungkin.

“Tidak, ia bukan senario yang membimbangkan (seperti dilaporkan) oleh sesetengah media.

"Ia (bekalan insulin manusia) boleh bertahan sehingga akhir tahun. Kami akan terus mendapatkan daripada pembekal lain (juga)," katanya.

Menurut Dzulkefly lagi setakat ini dia tidak mendapat sebarang maklumat mengenai mana-mana pesakit yang memerlukan insulin tidak mendapat bekalan sepatutnya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa ada kemudahan kesihatan tempatan menghadapi kekurangan bekalan insulin manusia.

KKM kemudian menjelaskan bahawa ada isu pengeluaran menyebabkan gangguan bekalan terjadi.

Kementerian itu bagaimanapun memberi jaminan bahawa beberapa langkah telah diambil untuk memastikan rawatan pesakit tidak terganggu, termasuk dengan meningkatkan penggunaan analog insulin dan terapi oral.

Menurut Dzulkefly berkata bahan tersebut berpunca daripada kegagalan salah satu pembekal memenuhi obligasi kontraknya kepada KKM.

Bagaimanapun, di sebalik kegagalan berkenaan, ahli parlimen Kuala Selangor itu berkata syarikat terbabit telah diberitahu untuk mengatasinya sama ada mendapatkan insulit dari kilang mereka di Johor atau mengimportnya.

"Apa pun, kami tidak mahu kekurangan ini mengganggu rawatan pesakit," katanya.

Menurut Dzulkefly, KKM juga sedang melibatkan pembekal lain termasuk dari luar negara, selain akan mempercepatkan permohonan pendaftaran mereka kepada 60 hari berbanding proses biasa yang biasanya mengambil masa beberapa bulan.

Sementara itu, mengenai situasi cacar monyet, Dzulkefly berkata tiada kes baru yang disahkan sejak Dis tahun lepas.

Katanya terdapat enam kes yang disyaki sebagai cacar monyat namun ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel, tiada keputusan positif diperolehi.

Pun begitu, Dzulkefly berkata, pihak berkuasa kesihatan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terutama di pintu masuk negara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS