Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kejadian tanah jerlus disebabkan faktor geografi
Diterbitkan:  Aug 25, 2024 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur disebabkan oleh faktor geografi dan struktur tanah kawasan tersebut, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Katanya struktur tanah berbatu kapur yang terdapat di kawasan itu mempengaruhi pergerakan air bawah tanah, selain menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya mengakibatkan tanah jerlus.

“Kadang-kadang kita tidak boleh menyangka bila dan di mana tanah jerlus ini akan berlaku.

“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi fenomena ini juga berlaku di seluruh dunia, terutama di kawasan yang mempunyai batu kapur dan keadaan geologi tertentu,” katanya selepas majlis Konvensyen Banteras Eksploitasi Pekerja di Kuching, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dengan adanya teknologi yang canggih pada masa akan datang, dia berharap kejadian tersebut dapat dikurangkan dan langkah pencegahan awal dapat diambil.

“Kita tak boleh meramalkan dengan tepat bila tanah jelus akan berlaku.

"Dengan pengetahuan dan teknologi yang betul, kita boleh mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melindungi komuniti dan mengurangkan kesan daripada kejadian ini,” katanya.

Dalam kejadian pagi Jumaat lalu, seorang mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarganya untuk melancong, sedang berjalan di kawasan berkenaan menuju ke sebuah kuil berhampiran apabila kejadian itu berlaku.

Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan dengan fokus pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium di Pantai Dalam.

Operasi itu dibantu enam anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS