Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia pertimbang tambah bantuan kemanusiaan buat Palestin
Diterbitkan:  Aug 25, 2024 12:15 PM
Dikemaskini: 4:15 AM

Malaysia akan mempertimbangkan untuk menambah bantuan rawatan rakyat Palestin yang cedera sekiranya terdapat keperluan, kata Perdana Menteri.

Anwar Ibrahim berkata bagaimanapun setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan mengenai fasa seterusnya untuk membantu warga Palestin yang cedera.

“Setakat ini, (fasa seterusnya) tidak ada perkembangan, sebabnya fasa pertama adalah perubatan (rakyat Palestin cedera yang dibawa ke Malaysia), yang telah baik (sembuh) akan dihantar balik.

"Jadi kita ambil pendekatan aman dan tenang sekejap.

“Kita nanti (akan) runding dengan Mesir yang telah menampung, Arab Saudi, Turkiye, Qatar, kita tengok kalau ada keperluan kita boleh bincang dan setakat ini kita nak rawat dan bagi dia orang (mereka) sihat dahulu.

"Kita akan bincang dan sekarang terlalu awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Semalaysia Untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini.

Pada 15 Ogos lalu Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini.

Ia dilakukan menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.

Muktamar hari ini turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar dan timbalannya Zulkifli Hasan, serta pengerusi bersama muktamar, Ahmad Awang.

Kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara hadir dalam muktamar anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS