Cadangan Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim terdapat tiga cara untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuktikan keabsahan tidak relevan, kata setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution Ismail.
Katanya, legitimasi Anwar selaku perdana menteri telah pun diuji pada sidang parlimen ke-15 yang pertama di Dewan Rakyat pada Disember 2022.
"Yang pertama, Yang di-Pertuan Agong d bawah Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan, mempunyai kuasa untuk melantik seorang perdana menteri yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat.
"Ekorannya, pada sidang parlimen pertama, Anwar telah membuktikan dengan membuat undi percaya terhadapnya yang lulus dengan undian suara. Dan Dewan Rakyat juga meluluskan Belanjawan 2024 dengan lebih 140 ahli parlimen meyokongnnya.
"Maka, cadangan Hasan itu tak relevan. Takkan nak buat usul undi percaya tiap-tiap tahun," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam, Hasan berkata apabila Dewan Rakyat kembali bersidang mulai 14 Oktober ini, kerajaan boleh mengemukakan usul undi percaya kepada Anwar atau pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap presiden PKR itu.
Selain itu, dia berkata undi terhadap Belanjawan Negara 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini juga boleh menjadi cara untuk memastikan sokongan terhadap Anwar.
Isu keabsahan Anwar selaku perdana menteri kembali dimainkan pembangkang setelah Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sekali lagi membangkitkan isu akuan berkanun (SD) ahli parlimen yang menyokongnya selepas pilihan raya umum dua tahun lalu.
Ketika berceramah pada kempen PRK Nenggiri sebelum ini, Muhyiddin mendakwa dia memiliki 115 SD selepas PRU15.
Menurut presiden Bersatu itu lagi jumlah itu cukup untuknya dilantik menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun Muhyiddin menyoal mengapa dia tidak diundang oleh Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai perdana menteri.