story images
story images
mk-logo
Berita
Tanah jerlus: Belum ada petunjuk baru
Diterbitkan:  Aug 25, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: Aug 26, 2024 12:44 AM

Operasi hari kedua semalam untuk mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang hilang selepas terjatuh dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, masih belum menemukan sebarang petunjuk baru.

Operasi yang bermula 10.30 pagi semalam dimulakan dengan fokus pencarian di sepanjang enam lurang kumbahan di sekitar lokasi kejadian dan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam dengan bantuan enam anggota dari Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Enam lurang kumbahan itu adalah di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.

Pasukan SAR terpaksa berhadapan dengan cabaran dengan melalui lurang kumbahan dalam keadaan sempit, selain arus deras dan keadaan udara di dalam terowong yang beracun yang boleh menimbulkan risiko kepada penyelamat.

Ketua Polis Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dalam sidang media malam tadi memaklumkan operasi SAR itu ditangguh pada 7 malam tadi dan akan bersambung pagi ini.

Beliau berkata operasi pencarian pada hari ini masih akan ditumpukan di enam lurang berkenaan sehingga ke loji IWK di Pantai Dalam kerana yakin mangsa masih terperangkap di antara kawasan itu.

Susulan pelaksanaan operasi SAR itu, Sulizmie Addendy turut menyarankan peniaga di Jalan Masjid India untuk menutup premis perniagaan masing-masing buat sementara waktu, bagi mengelak risiko terhidu gas beracun yang mungkin keluar daripada lurang kumbahan semasa operasi SAR dijalankan.

Pada masa yang sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang meneruskan siasatan ke atas struktur tanah di kawasan tersebut, untuk dapatan yang lebih terperinci dan penemuan tambahan bagi membantu pencarian.

Dalam kejadian pagi kelmarin, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh di dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di Kuala Lumpur.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan kaki melalui kawasan berkenaan untuk menuju ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS