Paling Popular
Terkini

PAU 2024 | Umno sedia mempertimbangkan usul sayap parti itu Puteri Umno yang mahukan had usia keanggotaan mereka dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, usul berkenaan akan dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu untuk diperhalusi.

Ini meskipun cadangan itu ditolak oleh jurucakap Wanita , NurulHidayah yang juga anak kepada Ahmad Zahid.

"Isu menaikkan umur Puteri ke 40 (tahun)...yang bercakap tadi bukan anak presiden, yang bercakap tadi adalah wakil wanita Umno.

"Namun, keputusan kami di atas ini mendengar dengan baik citarasa yang telah dibawa oleh Puteri Umno dan kita akan bawa ke jawatankuasa pengurusan MKT Umno," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpuan Agung UMNO 2024 (PAU2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, petang tadi.

Terdahulu, perwakilan Puteri Umno tetap mendesak agar had usia keanggotaan sayap itu dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun bagi menjamin kelangsungannya.

Exco Puteri Umno, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman, berkata perubahan itu perlu kerana 153 ketua-ketua Puteri Umno bahagian akan melewati tahap usia yang dibenarkan iaitu 35 tahun.

"Izinkan saya untuk membawa suara Puteri (Umno) yang telah dipersetujui semasa Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno yang berlangsung pada tanggal 22 Ogos lalu.

"Dalam Perhimpunan Agung tersebut, kami memohon dan merayu agar had umur Puteri dinaikkan daripada 35 tahun kepada 40 tahun," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden.

Bagaimanapun NurulHidayah yang merupakan jurucakap Wanita Umno mencadangkan supaya ahli Puteri yang telah melepasi usia supaya terus bersama Wanita Umno.

Oleh itu Nurulhidayah berpendapat had usia Puteri Umno tidak perlu dinaikkan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan pelantikan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor dilantik sebagai ahli MKT Umno mewakili masyarakat Orang Asli.

"Bagi menghargai masyarakat Orang Asli terutama di Nenggiri dan masyarakat Orang Asli seluruh negara, dengan ini saya Presiden Umno mengambil keputusan bahawa Ramli ahli Parlimen Cameron Highlands yang mewakili Orang Asli untuk duduk dalam MKT," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS