PAU 2024 | Umno hari ini tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama sebagai senjata politik mereka untuk memenangi persaingan, kata Naib Presidennya Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata ini kerana sentimen sebegitu tidak lagi sesuai untuk orang Melayu ketika ini.

Disebabkan itu, Khaled berkata Umno perlu menyahut seruan presiden partinya Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerja bersungguh-sungguh dalam membangunkan ketahanan bangsa melalui pendidikan dan kemahiran.

“Kita tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama, sebagai senjata untuk memenangi persaingan. Sentimen sebegitu sudah tidak sesuai dengan Melayu dalam kurun ke-21.

“Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baru bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU2024) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Mengulas lanjut, Khaled berkata Umno mesti menjadikan generasi Melayu kini lebih baik, kompetitif, berilmu dan lebih global.

“Kita mahukan Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baru bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia.

“Justeru, segala usaha mesti kita gembeleng, agar agenda mengarusperdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu disokong dengan bersungguh-sungguh. Bukan diambil mudah," katanya.

Khaled juga berkata Umno tidak lagi boleh membiarkan pendidikan dan agenda meningkatkan kebolehsaingan orang Melayu menjadi hanya agenda kerajaan.

“Sebaliknya, Umno atas kapasitinya sebagai sebuah parti, mesti menjadi sebahagian daripada perkongsian penting dengan kerajaan untuk memajukan pendidikan dan kebolehsaingan bangsa,” katanya.

Sementara itu, Khaled juga berkata parti itu perlu bergerak dan memerintah bersandarkan kepada realiti politik semasa.

Tegas Khaled, ia juga bukan perkara baru untuk Umno bergerak bersama-sama parti lain dalam memerintah negara.

“Ia bukan perkara baru. Atau perkara yang dibuat secara tiba-tiba atas dasar keterpaksaan atau keterdesakan.

“Sebaliknya, pendekatan ini adalah apa yang Umno bidani sejak parti ini mula mentadbir negara dan bangsa kita seawal kemerdekaan.

“Dari fikrah Umno-lah, kita wujudkan BN dan mengurus negara ini secara permuafakatan selama lebih enam dekad,” katanya.

Khaled berkata Umno perlu mengambil kira dinamika semasa politik negara dan tidak boleh memaksa pelbagai parti untuk menyertai gabungan BN sebagai komponen.

“Tetapi itu tidak bermakna kita tidak boleh bekerjasama dengan baik.

“Pelbagai strategi boleh kita nukilkan, tetapi matlamat asal masih terus kita pertahankan,” kata Khaled lagi.

Orang Melayu menurut Khaled harus berkongsi kuasa dengan pelbagai parti lain kerana hakikatnya Umno tidak mempunyai kekuatan untuk memerintah secara solo.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS