Paling Popular
Terkini

PAU 2024 | Tidak adil bagi Umno untuk membuat penilaian dan keputusan pada masa ini sama ada mahu bergerak secara solo atau sebaliknya dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata timbalan presidennya, Mohamad Hasan.

Kenyataaan itu hadir selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti berteraskan Melayu itu mungkin tidak akan bergerak solo dalam PRU ke-16.

Bercakap kepada pemberita di Perhimpunan Agung Umno 2024 hari ini, Mohamad berpendapat keputusan untuk bergerak solo atau bekerjasama dengan parti lain hanya akan dibuat apabila tiba masanya.

"Bila sampai masa nak PRU nanti, kita lihatlah bagaimana kekuatan parti kita, kalau keadaan parti kita pada ketika itu membolehkan kita bergerak solo maka kita akan buat keputusan pada ketika itu.

"Kalau tidak boleh bergerak solo, kita memerlukan rakan untuk kita menghadapi PRU pun kita akan fikiran pada ketika itu. Terpulang pada ketika itu.

"Sekarang ini adalah tidak adil untuk kita menilai diri kita sekarang untuk tahun 2027," katanya ketika dtemui pemberita pada Perhimpunan Agung Umno 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Ketika menyampaikan ucapan dasar presiden semalam, Ahmad Zahid berkata sokongan ahli Umno semata-mata tidak mampu untuk memenangkan parti itu kerana yang menjadi penentu adalah pengundi luar yang jauh lebih besar.

"Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan go solo, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?

"Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baru pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?

"Ahli Umno sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya," katanya.

Tak mahu jadi macam anjing dan bayang-bayang

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata ucapan Zahid tidak boleh diambil 'dari segi permukaan' sahaja.

"Presiden bercakap bertindih dan pada masa yang sama Umno mesti berupaya menubuhkan kerajaan. Cara mana dan langkah bagaimana itu perlu diperhalusi dan kita rancang betul-betul kerana kita tidak mahu disebabkan macam anjing dengan bayang-bayang.

"Rugi sendiri nanti, kita dalam pilihan raya nak menang dan tubuhkan kerajaan jadi nak menang cari macam mana nak menang dan cara bagaimana nak tubuhkan kerajaan.

"Kita tidak mahu nanti tamak sangat sudahnya kita kecundang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS