Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohona isteri Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid untuk mendapat semula pasportnya secara sementara untuk satu lawatan kerja ke Shanghai, China.

Mahkamah membenarkan Na’imah mendapat pasportnya bermula 28 Ogos hingga 9 September ini.

Mahkamah sebelum ini menahan pasportnya sebagai sebahagian daripada syarat jaminan RM250,000 yang dikaitkan dengan kes kegagalan mendedahkan asetnya yang sedang berjalan.

Timbalan pendakwa raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memberitahu hakim Azura Alwi bahawa pihaknya tidak membantah permohonan Na’imah.

Bagaimanapun dia meminta Na’imah untuk segera menyerahkan semula pasportnya kepada mahkamah dalam tempoh 48 jam selepas kembali ke Malaysia pada 9 September ini.

Peguam Na’imah, Nizamuddin Abdul Hamid kemudian berkata pihaknya setuju dengan syarat itu.

Terdahulu, mahkamah juga pernah membenarkan pelepasan sementara pasport wanita itu untuk perjalanan ke Basel dan Singapura, serta London dan Venice, Italy.

Pertuduhan

Pada Januari lalu, Na’imah, 66 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan jenayah kerana didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya.

Dia didakwa mengikut Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberikan akuan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM.

Na’imah dituduh melakukan kesalahan itu antara 13 hingga 14 Dis tahun lalu, dan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Aset yang didakwa tidak didedahkannya melibatkan beberapa bidang tanah, bangunan dan kenderaan Mercedes-Benz.

Mengikut lampiran pada pertuduhan dan dibacakan di mahkamah, antara lapan hartanah yang didakwa itu, termasuk ialah Menara Ilham di Kuala Lumpur, sebuah rumah di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, serta enam bidang tanah - lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.

Dia juga didakwa tidak mendedahkan dua syarikat, iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd.

Suaminya Daim, yang merupakan bekas menteri kewangan, juga berdepan pertuduhan sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS