Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bisa tembakan tak patah semangat Sarjan Hasif kembali bertugas
Diterbitkan:  Aug 22, 2024 8:35 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Sudah tiga bulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram berlalu namun ‘bisa’ akibat kesan tembakan masih dirasai Sarjan Mohd Hasif Roslan hingga ke saat ini.

Bagaimanapun, kesakitan itu tidak sesekali mematahkan semangat anggota “Sang Saka Biru” berkenaan untuk kembali bertugas di tempat baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini sejak seminggu lepas.

Mohd Hasif, 38, yang telah berkhidmat selama 14 tahun berkata tahap kesihatannya kini telah pulih 75 peratus dan hanya perlu menjalani rawatan susulan fisioterapi di sebuah hospital.

“Bisa di tangan kiri masih terasa, kadang kala rasa kebas dan kurang deria rasa tetapi dengan kekuatan tangan kanan tiada masalah, saya sudah boleh bertugas serta lakukan aktiviti harian termasuk memandu kenderaan.

“Saya sentiasa ingatkan diri saya untuk kuat kerana kalau saya terus mengenang kejadian itu, saya tidak boleh bekerja.

“Jadi, saya kena sentiasa kuatkan semangat,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan daripada Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di IPD Kota Tinggi hari ini.

Turut hadir Presiden RESPA Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin, Timbalan Ketua Polis Johor DCP Afandi Senin dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ACP Hussin Zamora.

Dalam insiden serangan pada 2.45 pagi 17 Mei itu, Mohd Hasif cedera terkena tembakan di bahagian bahu dan pinggul kiri manakala dua rakannya Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said terkorban.

Mohd Hasif berkata hubungannya dengan kedua-dua rakannya yang terkorban itu sangat rapat dan disifatkan seperti adik beradik.

“Pemergian mereka menjadi penguat semangat untuk saya terus bertugas selain dorongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan lain.

“Semangat untuk bertugas lebih kepada meneruskan ‘perjuangan’ anak-anak buah saya itu, mereka insan yang sangat baik. Jadi, apabila mereka ‘pergi’, saya tidak boleh lemah dan kena teruskan tanggungjawab sebagai anggota polis,” katanya.

Terdahulu, Meor menyampaikan sumbangan daripada RESPA berjumlah RM8,000 kepada Mohd Hasif hasil kutipan derma yang dilancarkan persatuan itu.

Beliau berkata sebanyak RM34,000 derma berjaya dikumpul daripada ahli persatuan, orang awam dan syarikat korporat, dengan sumbangan berjumlah RM13,000 masing-masing sudah disalurkan kepada keluarga Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS