Ketua Puteri Umno, Nurul Amal Mohd Fauzi meminta agar anggota sayap parti itu meneruskan perjuangan untuk membebaskan bekas presiden Umno, Najib Razak yang kini sedang dipenjarakan.

Dia juga mengingatkan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa bahawa Puteri Umno akan terus bersama keluarga bekas perdana menteri itu.

“Jangan sesekali kita berputus asa untuk berdoa mendapatkan bantuan Allah SWT bagi pembebasan mantan presiden Umno, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Kepada Yana (Nooryana Najwa), ingatlah Puteri Umno sentiasa bersamamu,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Puteri Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Terdahulu Nurul menyeru agar anggota Puteri Umno terus setia dan istiqamah bersama parti.

Malah Nurul Amal menegaskan setiap perkara yang dilakukan oleh sayap Puteri perlu berlandaskan teras parti sebagai panduan.

“Saya rangkumkan ucapan-ucapan rakan-rakan kita pada perhimpunan kali ini untuk terus setia dan istiqamah bersama parti. Ini rumah kita. Selamanya rumah kita. Sampai bila-bila, akan kita jaga.

“Tahniah, kerana masih di sini. Tahniah kerana terus menjadi penyambung generasi parti. Tahniah kerana bersama meneruskan perjuangan ini,” katanya

Dalam turut menekankan tiga teras utama yang disebut dalam ucapan dasarnya melibatkan Agama, Pendidikan dan Ekonomi sebagai tekad Puteri Umno mengembalikan sokongan anak muda.

“Bergeraklah Puteriku sekalian. Ingatlah, kita adalah bayangkara agama, bangsa, dan nusa. Kita perlu bersama-sama berusaha menarik kembali sokongan anak muda kepada Umno. Inilah tekad Puteri Umno” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS