PAU 2024 | Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis masih gagal membuktikan penyertaannya ke dalam PAS seperti mana didakwa sejak 10 Jun tahun lalu.

Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh berkata, kedudukan Adun Rembia itu akan ditentukan pada persidangan DUN yang akan berlangsung Nov depan selepas dia menyerahkan bukti berkenaan seperti mana diminta Speaker DUN.

"Pihak Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui yang berhormat Speaker DUN telah pun memberikan maklum kepada mereka, kepada Adun Rembia supaya menghantar surat dan sijil keahlian PAS secara rasmi ke pejabat Speaker yang telah tamat pada 28 Jul yang lepas.

"Sampai hari ini kita tidak menerima warkah rasmi daripada Adun Rembia," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC) Kuala Lumpur, petang ini.

Pada 16 Julai lalu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengumumkan Muhammad Jailani telah sah menjadi ahli PAS.

Menurut Takiyuddin, penyertaan Jailani ke dalam PAS tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit, yang sebelum ini digantung keahliannya daripada Umno.

Pada hari yang sama, Speaker DUN Melaka, Ibrahim Durum dilaporkan berkata pihaknya belum mendapat surat rasmi daripada Adun berkenaan berhubung penyertaannya ke dalam parti Islam itu.

Ibrahim berkata dia akan menunggu surat rasmi berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Muhammad Jailani perlu menjawab surat berkenaan sebelum sidang DUN bermula bagi membolehkan kedudukannya dalam dewan dapat ditentukan.

"Kita tunggu persidangan DUN..kita (juga) telah hantar surat kepada pihak PAS untuk dapatkan pengesahan," katanya lagi.

'Pemuda Umno boleh cakap apa saja'

Dalam isu berasingan Ab Rauf turut ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh bahawa parti itu sedia bergerak solo dalam pilihan raya umum (PRU) ke-16 sekiranya perkara itu selari kehendak parti.

Menjawab perkara itu, Ab Rauf berkata Pemuda Umno berhak untuk bercakap apa saja, namun yang menentukannya ialah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

"Sepanjang perhimpunan agong setiap tahun, memang pemuda adalah merupakan pemuda (yang) menjadi kumpulan pendesak, pressure group, so they can speak, they can mind anything but at the end of the day, bukan keputusan dia.

"Keputusan akan dibuat dalam MKT yang akan menilai pada pelbagai sudut kekuatan parti dalam adunan-adunan yang akan diputuskan dalam mesyuarat MKT.

“Pemuda can speak anything tak ada masalah," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS