Hakim dan majistret Mexico memulakan mogok tanpa had pada Rabu terhadap cadangan pembaharuan badan kehakiman oleh Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, lapor Agensi Anadolu (AA).
Inisiatif yang dikemukakan oleh presiden, juga dikenali sebagai AMLO, pada Februari tahun ini mencetuskan kritikan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat, ahli politik dan anggota kehakiman yang melihat rang undang-undang itu sebagai percubaan untuk mengambil alih badan kehakiman oleh parti Morena yang memerintah.
Cadangan itu bertujuan agar hakim dan majistret dipilih melalui undi popular, dengan calon dikemukakan oleh presiden, Kongres (kini dikawal oleh Morena) dan badan kehakiman.
Semua mahkamah persekutuan dan tribunal ditutup bagi tempoh masa yang tidak pasti kecuali untuk kes "mendesak".
AMLO telah berjanji pembaharuan itu sebagai usaha untuk "membersihkan" badan kehakiman, yang difikirkannya telah rosak dan dikuasai oleh orang-orang paling berkuasa di negara itu.
Walau bagaimanapun, ramai yang percaya bahawa pembaharuan itu akan menamatkan pengagihan kuasa dan menghapuskan pengimbang terakhir kepada presiden dan kuasa besar partinya.
Pada Selasa, beberapa minit sebelum tengah malam, pengarah Persatuan Kebangsaan Majistret Litar dan Hakim Daerah Cawangan Kehakiman Persekutuan (JUFED), Hakim Juana Fuentes Velazquez mengumumkan permulaan mogok pada Rabu, yang beliau sebut sebagai "tindakan penentangan yang sah terhadap pembaharuan ini".
"Pembaharuan ini bukan sahaja mengancam keadilan. Ia mengancam kestabilan negara kita," kata Velazquez kepada media.
Pada 19 Ogos, kira-kira 1,403 hakim dari JUFED berkumpul untuk mengundi dan memutuskan sama ada untuk melancarkan mogok, dengan 1,202 mengundi "ya" untuk menggantung aktiviti dan 201 mengundi "tidak", menyaksikan hakim menyertai mogok yang disokong oleh lebih 55,000 pekerja cabang kehakiman.
"Kita sedang menuju ke arah krisis perlembagaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, krisis yang jika tidak dihentikan akan meninggalkan parut yang mendalam dalam fabrik sosial kita.
"Atas sebab-sebab ini, kami telah memutuskan bersama ratusan hakim yang komited untuk menggantung kerja bidang kuasa secara tidak terbatas di seluruh negara pada 21 Ogos," tambah Velazquez.
Mogok itu akan dilaksanakan sehingga pembaharuan itu dibatalkan dan Kongres membuka dialog dengan badan kehakiman untuk mencari pembaharuan bersama.
- Bernama-Anadolu