Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli parlimen, kumpulan media bidas polis halang Mkini buat liputan
Diterbitkan:  Aug 22, 2024 6:00 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Kumpulan media membidas tindakan polis menghalang wartawan Malaysiakini daripada membuat liputan dalam salah satu acara mereka hari ini.

Gerakan Media Merdeka (Geramm), sebuah kumpulan advokasi media, mempersoalkan sama ada portal berita itu diperlakukan sedemikian kerana laporan penyiasatannya.

“Dikatakan arahan ini datang dari atas. Siapa yang di atas tu?” soal jurucakap Geramm, Radzi Razak.

Pagi ini wartawan Malaysiakini dilarang membuat liputan acara polis di Kuala Lumpur yang sepatutnya menampilkan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Acara “PDRM Special Dialogue II” dimulakan dengan sesi perbincangan tertutup antara Jabatan Narkotik Bukit Aman dan pihak berkepentingan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang lain di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan.

Media sepatutnya dapat membuat liputan pelancaran oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang dijadualkan pada 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, kira-kira jam 11 pagi, pegawai media Bukit Aman memberitahu wartawan Malaysiakini bahawa mereka tidak dibenarkan memasuki acara itu.

Ini walaupun Malaysiakini telah menerima jemputan untuk acara itu melalui e-mel daripada Bukit Aman, dan portal itu membalasnya pada hari yang sama dengan butiran dua wartawan yang ditugaskan untuk membuat liputan acara tersebut.

Wartawan Malaysiakini bagaimanapun dibenarkan masuk kemudian untuk membuat liputan sidang media melibatkan Saifuddin, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Ruji Ubi.

Radzi menyifatkan menghalang media daripada membuat liputan sebagai "taktik lama".

Dia menambah bahawa ia juga tidak membantu dalam mengeratkan hubungan antara media dan polis.

“Kenapa ini masih berlaku? Kalau boleh, kita perlukan penjelasan,” kata Radzi.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama Geramm dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menyifatkan tindakan seorang pegawai media Bukit Aman melarang wartawan portal Malaysiakini membuat liputan sebagai tidak profesional.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa Malaysiakini merupakan anggota penuh NUJM.

“NUJM dan Geramm ingin menekankan bahawa kami memandang serius sekatan terhadap wartawan Malaysiakini yang bertugas.

“Kami juga ingin menegaskan, adalah tidak wajar jika terdapat mana-mana pihak yang mengamalkan sikap memilih media dalam soal jemputan atau membuat liputan bagi sesebuah acara rasmi membabitkan agensi kerajaan atau kementerian.

“Kami percaya kerjasama daripada semua pihak amatlah perlu terutama dalam menjalankan tugas secara profesional dan penuh kredibiliti,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia Article 19 juga mengkritik polis atas tindakannya, menyebutnya sebagai satu bentuk penapisan.

“Menghalang wartawan daripada acara adalah satu bentuk penapisan.

“Ia menunjukkan ketakutan terhadap penelitian dan keinginan untuk mengawal aliran maklumat. Media bebas mesti bebas untuk semua,” katanya di X.

Tindakan polis itu juga menarik perhatian Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan yang menggesa polis untuk mempertimbangkan semula keputusannya.

"Larangan ini wajar dipertimbangkan semula. Ia membawa imej yang tidak baik pada penganjur,” katanya di laman X.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng turut menggesa penjelasan mengenai perkara itu, sementara Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Lee Chin Chen pula menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah untuk memastikan media dapat membuat liputan secara bebas.

Lee juga berkata dia menyokong laporan Malaysiakini sebelum ini yang memetik sumber tanpa nama mengenai dakwaan rancangan dalaman rombakan pegawai kanan polis.

Katanya, sebarang tindakan balas daripada polis terhadap Malaysiakini adalah "tidak wajar, tidak matang, dan mengabaikan kebebasan media di Malaysia".

Polis sedang menyiasat Malaysiakini berhubung laporannya mengenai kemungkinan rombakan itu, dan telah membuat pertanyaan mengenai identiti sumber yang enggan didedahkan portal itu.

Razarudin telah menafikan laporan itu sebagai "tidak benar" kerana Bukit Aman tidak mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai rombakan tersebut, manakala Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara minggu ini untuk tindakan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS