Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daerah di Kedah, Kelantan, T'ganu catat kadar penagih dadah tertinggi

Daerah Pendang di Kedah mempunyai kadar penagih dadah tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk di negara ini, menurut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata kompilasi data badan pencegah narkotik di negara ini menunjukkan Pendang mempunyai 1,133 penagih dadah bagi setiap 100,000 penduduknya.

Angka itu adalah jauh lebih tinggi daripada purata nasional, yang kini pada 432 setiap 100,000 orang.

Selepas Pendang, data menunjukkan daerah lain yang mempunyai bilangan penagih dadah yang tinggi bagi setiap penduduk termasuk Machang dan Bachok di Kelantan, dan Besut, Dungun, Kemaman dan Marang di Terengganu.

Berucap pada sidang media di Kuala Lumpur, Saifuddin berkata pihaknya masih mengkaji sebab kawasan itu mempunyai bilangan penagih yang lebih tinggi berdasarkan data terperinci yang dikumpul daripada polis, Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan kemudahan pemulihan dadah swasta.

Berdasarkan data itu, tambahnya, pihak berkuasa mendapati lebih separuh daripada penagih dadah sama ada menganggur, bekerja sendiri atau di sektor swasta.

Dari segi pendidikan, kebanyakan penagih didapati berpendidikan sekurang-kurangnya sijil peringkat SPM.

"Dari segi latar belakang keluarga, dia datang dari B40 and M40..

"Itu data, ini bukan Saifuddin sebut. Ini Saifuddin berkongsi dapatan data semalam. Jadi kalau tengok yang itu, latar belakang ekonomi, pendidikan, status pekerjaan, kita dapat tengok.

"Kalau tanya saya kenapa kawasan-kawasan ini? Saya hanya boleh buat jangkaan terbuka," katanya semasa sidang media itu, yang diadakan selepas melancarkan acara antinarkotik anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengarah JSJN Bukit Aman Khaw Kok Chin, dan pegawai tertinggi polis yang lain.

Malaysiakini dilarang membuat liputan oleh unit komunikasi korporat Bukit Aman kerana didakwa tidak melepasi tapisan keselamatan, tetapi kemudian dibenarkan membuat liputan sidang media Saifuddin.

Saifuddin menambah bahawa KDN akan menggunakan data yang telah dianalisis untuk menggerakkan agensinya, di mana mereka akan memberi lebih tumpuan kepada kawasan yang mencatatkan bilangan penyalahgunaan dadah yang tinggi.

Ini termasuk program pencegahan dan kesedaran oleh semua agensi berkaitan, serta penglibatan dengan pemimpin tempatan.

"Kami melakukan analisis ini supaya ia dapat membantu kami merancang pendekatan yang lebih sesuai dan disasarkan. Inilah yang dimaksudkan dengan data," tambahnya.

Siasatan rasuah bekalan tenaga kerja Bangladesh

Sementara itu, mengenai perkara berasingan, Saifuddin turut mengulas siasatan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Bangladesh (ACC) terhadap sindiket bekalan tenaga kerja, yang didakwa melibatkan pegawai Malaysia.

Dia berkata kementerian melihat perkara itu secara serius dan akan mendapatkan bantuan Wisma Putra untuk mendapatkan laporan penuh daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

“Saya juga akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia kerana mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan kuota (untuk pekerja asing).

“Selain itu, saya juga akan meneliti agensi di bawah kami, terutamanya Jabatan Imigresen kerana kelulusan dan pengeluaran visa adalah di bawah bidang kuasanya, serta beberapa agensi lain yang berkaitan.

“Sudah tentu berita mengenai kes ini adalah sesuatu yang perlu kita ambil perhatian serius,” katanya.

Baru-baru ini, badan pencegah rasuah Bangladesh itu melancarkan siasatan terhadap sindiket bekalan tenaga manusia.

Sindiket yang didakwa termasuk empat bekas ahli parlimen dan bekas menteri kewangan AHM Mustafa Kamal, yang disiasat kerana didakwa menggelapkan kira-kira RM8.9 bilion dalam skim bekalan buruh, lapor Dhaka Tribune.

Sindiket itu didakwa menghantar kira-kira 450,000 pekerja ke luar negara dalam tempoh satu setengah tahun tetapi ramai yang akhirnya menganggur dan pulang dengan tangan kosong.

Menurut laman web berita itu, mereka dituduh berbuat demikian "dengan sokongan pegawai kanan dari kedua-dua kerajaan Bangladesh dan Malaysia".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS