Paling Popular
Terkini

Umno tidak menolak kemungkinan parti itu akan bergerak secara solo pada pilihan raya umum (PRU) ke-16 namun keputusan mengenainya mestilah selari dengan kehendak parti, kata Ketua Pemudanya, Dr Akmal Saleh.

Kata Akmal, setakat ini Umno belum membuat keputusan untuk bersama mana-mana parti bagi menghadapi PRU ke-16.

"Mungkin hari ini kita bersama orang itu, tapi mungkin minggu depan kita akan berubah. Ini mengikut kepada parti, kehendak rakyat dan ahli.

"Sudah tentu jika ahli kata kita perlu pergi solo, kita pergi solo, tapi mesti ikut kehendak parti.

"Jadi, hari ini kita tidak memutuskan lagi untuk bersama siapa (bagi) menghadapi PRU-16, tidak dibincang di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mahupun BN.

"Jadi sudah tentu option itu terbuka, mungkin juga kita boleh bersama mana-mana parti, selagi mana dia menguntungkan bangsa, agama dan negara," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 30 Jun lalu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata BN akan terus bekerjasama dengan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahmad Zahid berkata BN dan PH akan bertanding menggunakan lambang masing-masing pada pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun Timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan pada 7 Jul lalu, berkata keputusan berkenaan kerjasama BN dengan PH hanya akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi BN.

Mohamad berkata, ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) parti itu yang mana setiap keputusan dibuat adalah keputusan bersama.

Umno akan tetap tanding DUN Mahkota

Sementara itu, Akmal ketika ditanya mengenai kerjasama parti itu dengan DAP dalam PRK DUN Mahkota, dia berkata ia perkara biasa selaku rakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

"Sudah tentu apabila dalam kerajaan perpaduan, kita bila dalam kerajaan perpaduan, kita bersama walau guna bendera BN.

"Tapi saya nak maklumkan juga kalau ada masih kata mahukan kerusi itu, pemuda Umno tak takut.

‘Kita berani, kita bersedia bertanding di kerusi itu, kalau dia nak tanding, kita tanding juga," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS