mk-logo
Berita
Jangan tolak anak jantan ke dinding - Bersatu
Diterbitkan:  Aug 22, 2024 3:09 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris membidas pihak yang mengkritik presiden partinya, mencabar mereka untuk mendedahkan nama-nama ahli parlimen yang menyokong Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum yang lalu.

Dia menggesa Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zakarshi dan bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak supaya 'menutup mulut' mereka.

"Sudah gaharu cendana pula," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Razali mendakwa Puad dan Salleh sebenarnya tahu identiti ahli parlimen berkenaan.

Menurut Razali lagi, ahli parlimen tersebut telah diugut dan mereka perlu memberi keterangan di mahkamah jika Muhyiddin didakwa.

"Mereka tak boleh berbohong di mahkamah. Mereka telah tandatangan Akuan Bersumpah. Banyak lagilah agaknya yang akan terbongkar.

"Jangan tolak anak jantan ke dinding. Kerana pilihannya hanya satu iaitu melawan balik.

"Kalau awak duduk di tempat dia pun awak akan melawan balik. Kecualilah awak pondan.

"Bercakap berdegar-degar dari dalam pagar rumah bapak awak saja,” kata Razali lagi.

Semalam, Muhyiddin, yang juga merupakan pengerusi PN telah menyerahkan sebanyak 115 SD kepada polis berhubung siasatan terhadap ucapannya baru-baru ini yang dianggap menghina bekas Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum 2022.

Akuan bersumpah tersebut, termasuk yang ditandatangani oleh dirinya sendiri, dikatakan datang daripada ahli parlimen yang menyokongnya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 yang mengakibatkan kebuntuan politik.

Muhyiddin juga berkata dia telah menyerahkan surat daripada setiausaha sulit kepada bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mengesahkan bahawa dia telah menerima akuan bersumpah tersebut pada 21 November 2022.

Katanya, dia telah melampirkan 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu), serta SD daripada 10 ahli parlimen BN dan dua ahli parlimen bebas.

SD daripada ahli parlimen PN dan PAS pula dibuat berasingan kerana PN telah bertanding menggunakan logo PAS di Terengganu dan Kelantan.

Terdahulu hari ini, Puad telah mencabar Muhyiddin untuk mendedahkan nama-nama 10 ahli parlimen BN yang menyokongnya manakala Salleh juga menuntut dia membuktikan presiden Bersatu itu mempunyai sokongan.

Sementara itu, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita pagi ini Muhyiddin hanya mempunyai 105 akuan bersumpah, yang tidak cukup untuk membentuk kerajaan.

Dia berkata 10 SD daripada ahli parlimen BN tidak sah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS