Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SD saja tak cukup untuk jadi PM, buktikan sokongan - Salleh
Diterbitkan:  Aug 22, 2024 12:39 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menganggap akuan berkanun (SD) sebagai carte blanche (penentu mutlak) untuk menjadi perdana menteri, kata Salleh Said Keruak.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, apabila melibatkan perkara-perkara penting negara, SD tidak boleh diterima bulat-bulat.

“Mesti ada pengesahan secara bersemuka untuk mengesahkan bahawa ia benar, sokongan itu sahih, serta kebenaran perkara tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Salleh berkata Muhyiddin perlu meminta anggota parlimen bukan Perikatan Nasional yang dikatakan menandatangani SD tersebut tampil secara terbuka membuat pengisytiharan mengesahkan sokongan mereka.

“Jika Muhyiddin yakin bahawa SD tersebut benar-benar sahih, dia seharusnya tidak takut untuk meminta anggota parlimen bukan PN tampil secara fizikal untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada umum sebelum Hari Merdeka yang akan datang ini,” tambahnya.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan sejumlah 115 SD, termasuk yang dibuatnya, kepada polis berhubung siasatan terhadap ucapannya baru-baru ini.

Tiada niat untuk menghina

SD itu didakwa daripada anggota parlimen yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 yang berakhir dengan keputusan parlimen tergantung.

Muhyiddin berkata dia melampirkan dokumen 51 SD dari PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu), serta SD dari 10 anggota parlimen BN dan dua bebas.

Polis menyiasat Muhyiddin kerana didakwa mempertikai keputusan yang di-pertuan agong melantik perdana menteri.

Dia antaranya berkata tidak diundang mengangkat sumpah oleh agong walaupun mempunyai sokongan cukup.

Muhyiddin mempertahankan ucapannya sebagai fakta dan berkata dia berniat untuk menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai agong ketika itu.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS