Paling Popular
Terkini
story images
story images

Landskap politik Melayu menyaksikan kemunculan "politik toksik" pada skala luar biasa yang menambahkan lagi perpecahan dalam kalangan orang Melayu, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Bukan itu saja, kata Mohamad, kesucian Islam juga turut dicemarkan kumpulan tertentu yang hanya menganggap kumpulan mereka sahaja memperjuangkan Islam.

"Kita sedang menyaksikan kemunculan ‘politik toksik’, pada skala yang sangat luar biasa.

"Ia dimanifestasikan dengan segala bentuk fitnah, kebencian dan kata nista yang keterlaluan.

"Dalam PRU yang lepas, kita menyaksikan kemunculan ‘political hate speech’ yang sangat ‘unprecedented’.

"Media sosial telah menjadi arena kepada revolusi yang mengetengahkan ‘politik toksik’, kebencian dan nista ini," katanya ketika berucap merasmikan persidangan sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini.

Hadir sama pemimpin sayap Umno, Ketua Wanita, Noraini Ahmad, Ketua Pemuda, Dr Akmal Saleh dan Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata berdasarkan pemerhatiannya, politik matang, sopan, bernas dan bersandarkan idea terbaik ‘telah mati' di persada politik orang Melayu.

“Orang Melayu mesti disedarkan, bahawa politik kebencian dan toksik yang melampau ini, akan menjadikan kita anti akal, anti kebenaran, dan anti segala-galanya.

“Ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan di kalangan orang Melayu.

"Masa depan Umno adalah sangat bergantung, kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik ini’," katanya lagi.

‘Ada kelompok merasa mereka lebih Islam’

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turut melahirkan rasa dukacitanya apabila Islam di negara ini sekarang ini seakan telah di ‘hijacked’ oleh golongan tertentu.

"Ada kelompok politik dalam negara ini yang merasakan bahawa Islam adalah milikan tunggal mereka.

"Hanya mereka yang mempunyai ilmu, untuk menilai apa yang Islamik dan apa yang bukan Islami.

"Yang lebih merbahaya, sesiapa yang tidak bersama mereka dilihat mengancam Islam. Atau gagal mendukung Islam," katanya tanpa menyebut mana-mana kelompok.

Katanya, kumpulan itu telah menggunakan Islam untuk memecahbelahkan orang Melayu di negara ini.

Malah lebih menakut lagi tindakan itu menjauhkan golongan bukan Islam terhadap agama suci ini.

"Jika Islam terus ‘ditawan’ seperti mana ia diperlakukan oleh kelompok politik tertentu dalam negara ini, maka Islam akan terancam," kata Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS