Paling Popular
Terkini

PAU 2024 | Walaupun BN memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri baru-baru ini, ia bukan penanda aras kepada pemulihan sepenuhnya Umno, khususnya melibatkan isu sokongan orang Melayu kepada parti itu.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata usaha memulihkan keyakinan dan mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada parti itu akan terus menjadi agenda serta fokus penting Umno di setiap lapisan.

"Kejayaan di PRK DUN Nenggiri, walaupun manis dan momentum yang penting kepada Umno, namun ia bukan penanda aras bagi pemulihan sepenuhnya Umno.

"Kejayaan di Nenggiri hanya permulaan kepada perjalanan jauh yang lebih getir dan mencabar.

"Pengajaran besar dari PRK tersebut ialah, sokongan bangsa Melayu itu tidak pegun. Ia dinamik.

"Ia boleh beralih selari dengan kedinamikan calon, strategi dan isu yang ditampilkan," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian persidangan sayap-sayap Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

Pada Sabtu lalu BN melalui calonnya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berjaya merampas kembali kerusi DUN Nenggiri yang sebelum ini dikuasai PN.

Mohd Azmawi berjaya menewaskan calon PAS, Mohd Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,327 undi.

‘Amaran’ buat Awie

Mohd Azmawi atau Awie memperoleh undi sebanyak 9,113 undi manakala Rizwadi yang dikenali sebagai Ustaz Wadi memperoleh 5,741undi.

Mohamad berkata orang Melayu ketika ini masih belum jelas menunjukkan bahawa mereka telah kembali kepada Umno dan mendukung parti berkenaan.

"Kita harus bekerja berlipat kali ganda untuk kemenangan calon Umno... Umno pula tidak boleh hidup dalam penafian," katanya.

Tegas Mohamad lagi, menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini tidak seharusnya melalaikan Umno sebaliknya usaha memulihkan kepercayaan ataupun sokongan orang Melayu mesti terus digiatkan.

"Kita tidak pun berkuasa sepenuhnya. Sebaliknya, kita waktu ini hanya pelengkap, kepada kerajaan perpaduan.

"Janganlah dek kerana kita ada perkongsian kedudukan dalam kerajaan, lalu kita lalai dalam tanggungjawab kita, merawat dan memulihkan keyakinan bangsa terhadap Umno," katanya lagi.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani

Sementara itu, Mohamad turut mengingatkan Mohd Azmawi supaya menjaga kawasan Nenggiri sebaik mungkin seperti mana dikehendaki pengundi di kawasan terbabit.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, banyak masalah di kawasan itu yang perlu diselesaikan dan Mohd Azmawi jangan sesekali hilang dari 'radar'.

"Kau jangan buat ragam tak tentu pasal, dah menang jaga kawasan elok-elok. Jangan asyik nak pergi Kota Bharu dan Kuala Lumpur saja, duduk di Nenggiri, Gua Musang saja, supaya apa yang penting, rakyat yang mengundi kita, pengundi yang memberikan harapan kepada kita, kita jaga.

"Rakyat di Gua Musang atau di Nenggiri dia tak nak kita buat menara berkembar, dia tak nak kita buat lapangan terbang, tak ada siapa nak terbang dekat Gua Musang tu," nasihat Mohamad.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS