Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: Juruukur bahan UniSZA didenda RM12,500
Diterbitkan:  Aug 21, 2024 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Seorang juruukur bahan kanan di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas lima pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,500.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Malike Mohamed, 52, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan Malike menjalani hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya dia gagal membayar denda yang ditetapkan.

Tertuduh didakwa menerima wang dengan jumlah keseluruhan RM6,500 daripada pemilik Syarikat AMZ Sepakat Sdn Bhd, Azman Yusof, bagi melancarkan proses tuntutan bayaran interim yang dibuat syarikat itu kepada UniSZA.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bank Islam di Kuala Terengganu antara Jun 2019 hingga Jan 2020.

Pertuduhan ke atas Malike dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Feb lalu Malike mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM14,500 daripada Azman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR daripada individu sama.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob menawarkan lapan pertuduhan pilihan, namun Malike yang diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan sahaja.

“Saya mohon hukuman setimpal dan motosikal Yamaha Y15ZR yang disita dilucut hak dan menjadi milik kerajaan.

"Saya juga mohon baki pertuduhan yang tidak diakui tertuduh dipertimbangkan sebagai take into consideration (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Mohd Azhar dalam penghakimannya berkata kesalahan dilakukan Malike adalah serius kerana boleh menyebabkan musibah lebih besar kepada kontraktor atau UniSZA.

Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan motosikal Yamaha Y15ZR dilucut hak dan menjadi milik kerajaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS