Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Dr M minta Zahid bubar Umno, bukan mahu haramkannya’
Diterbitkan:  Aug 21, 2024 4:19 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Pejabat Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa bekas perdana menteri itu mahu mengharamkan parti yang dipimpinnya selama lebih dua dekad.

"Ini tidak benar sama sekali," katanya dalam satu kenyataan petang ini.

“Sesungguhnya jika Dr Mahathir berhasrat untuk mengharamkan Umno, beliau sebagai perdana menteri boleh arah menteri dalam negeri melakukannya serta-merta.

“Tetapi selama dua tahun lebih Dr mahathir menjadi perdana menteri, Umno terus berada” katanya merujuk kepada tempoh kedua Mahathir memegang jawatan dari 2018 hingga 2020 selepas Pakatan Harapan menumbangkan Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Menurut pejabat Mahathir, pemimpin itu meminta Zahid untuk membubarkan Umno atas alasan ia "sudah kalah dalam pilihan raya umum ke-14, tidak lagi mewakili orang Melayu, pemimpin-pemimpinnya terkait dengan rasuah dan sudah tidak lagi berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal parti itu ditubuhkan."

Pejabat itu berkata keputusan tersebut diserahkan kepada Zahid dan kepimpinan Umno jika mereka menyedari bahawa parti itu telah "terpesong daripada perjuangannya dan tidak layak lagi menggunakan nama Umno."

Pejabat Mahathir juga berkata, bahawa Zahid kemudiannya didakwa atas 47 pertuduhan rasuah.

September lalu, Zahid telah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.

"Bahawa parti yang bernama Umno masih ada hingga sekarang membukti parti itu tidak pernah diharamkan," kata pejabat bekas perdana menteri itu.

Awal bulan ini, Mahathir, 99, menyangkal dakwaan Zahid bahawa dia mahu mengharamkan Umno.

Selanjutnya, Mahathir menegaskan dia telah meletakkan jawatan perdana menteri pada Februari 2020 selepas Bersatu - parti yang diasaskannya selepas keluar Umno - enggan mengikut nasihatnya.

"Pada kebiasaannya apabila seorang pemimpin tidak lagi diberi kepercayaan oleh pengikutnya dia, secara terhormat sepatutnya letak jawatan.

"Dan itulah yang saya lakukan," kata Mahathir.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS