Sebuah portal berita tempatan berbahasa Tamil berasa kecewa selepas pihak polis memanggil mereka sebanyak enam kali untuk memberi keterangan.
Ini berhubung laporan portal Thinathanthi mengenai Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy didakwa mempunyai tunggakan pembayaran cukai pendapatan hampir RM200,000.
Polis dikatakan turut merampas telefon pintar dan kad sim salah ketua pengarang mereka, S Kalidass.
Bercakap kepada Malaysiakini, Kalidass berkata dia dipanggil polis daripada ibu pejabat daerah Putrajaya sejak Mei tahun ini.
"Kami diberitahu bahawa timbalan menteri itu membuat laporan polis ke atas sebuah lagi akhbar Tamil tempatan berkaitan kenyataan bekas Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dalam isu ini.
"Sejak itu saya telah dipanggil ke IPD Putrajaya sebanyak empat kali. Seorang wartawan dan jurugambar kami dipanggil masing-masing sekali.
"Polis turut rampas telefon pintar dan kad sim saya baru-baru ini. Kami sangat kecewa dengan tindakan ini.
“Apa yang mengecewakan kami dipanggil untuk memberi keterangan pada hal kami tak dedah pun nama timbalan menteri itu dalam laporan kami, tapi media perdana yang mendedah nama dia, (tapi media perdana itu) tidak dipanggil pun,” katanya.
Pada 7 Mei, Saraswathy membuat laporan polis terhadap Satees dan portal berita bahasa Tamil tempatan yang didakwanya menyebarkan maklumat palsu.
Ini selepas dakwaan Saraswathy mempunyai tunggakan pembayaran cukai pendapatan hampir RM200,000 menjadi tular di media sosial.
Malaysiakini ketika itu turut melihat dokumen daripada LHDN yang memberikan Saraswathy "permit sementara" untuk naib presiden PKR itu ke luar negara bagi tujuan perubatan.
Terdapat juga pecahan cukai pendapatan tahunan, dari 2010 hingga 2020, yang dikatakan gagal dilangsaikan oleh Saraswathy.
Namun, Saraswathy menafikan dakwaan tersebut dan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan isu tersebut.
Satees kemudian mempersoalkan tindakan Saraswathy yang hanya menyasarkan media bahasa Tamil, sedangkan portal lain juga turut melaporkan isu sama.
Tekanan pihak kerajaan
Sementara itu, Kalidass berkata bahawa dia berasa kecewa dengan siasatan tersebut.
Menurutnya, salah seorang pegawai polis memaklumkan bahawa siasatan diteruskan kerana kerana “tekanan pihak kerajaan“.
"Saya menghormati tugas polis menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang diterima. Polis juga sangat profesional ketika mengambil keterangan.
"Tapi, saya nak tanya pihak kerajaan adakah membuat siasatan berhubung dakwaan timbalan menteri itu mempunyai tunggakan LHDN? Betulkah dia mempunyai tunggakan atau ia cuma fitnah sahaja? Kenapa sehingga kini kerajaan tak buat sebarang penjelasan?
"Kalau nak buat siasatan silakan. Tapi, ia kena melibatkan kedua-dua pihak, bukan sasar kami sahaja," katanya.