Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hassan, LFL kecam langkah guna Akta Hasutan ke atas Muhyiddin
Diterbitkan:  Aug 21, 2024 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Seorang ahli parlimen PKR hari ini mengkritik pihak berkuasa kerana menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat Pengerusi PN dan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Kata Hassan Abdul Karim, isu 3R tidak seharusnya mewajarkan tindakan ke atas Muhyiddin menggunakan akta tersebut yang dianggap ramai sebagai zalim.

"Amat membimbangkan jika momokan isu 3R ini digunakan oleh agensi berkuasa dan kerajaan untuk menggunakan undang-undang yang draconian seperti Akta Hasutan 1948 untuk menafikan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Menjelaskan pandangannya melalui kenyataan hari ini, Hassan berkata, lazimnya Malaysia dirujuk sebagai negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Katanya, hal itu membawa maksud tersirat bahawa Malaysia merupakan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen serta menerima sistem pilihan raya yang menentukan sesebuah kerajaan pilihan rakyat.

"Pada masa yang sama frasa raja berperlembagaan bermakna kuasa raja ditentukan oleh perlembagaan dan sistem raja di Malaysia bukanlah sistem raja yang berkuasa mutlak atau absolute monarchy," katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut ahli parlimen Pasir Gudang itu lagi, Muhyiddin merupakan bekas perdana menteri, dan kini masih ahli parlimen semasa selain mengetuai pakatan pembangkang di Dewan Rakyat.

Tambah Hassan, dalam urusan bernegara kuasa rakyat melalui konsep demokrasi berparlimen didahulukan berbanding konsep raja berperlembagaan dan ia dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hassan Abdul Karim

"Soal kebebasan asasi, seperti tercatat pada perkara 5 menjadi teras utama demokrasi diletakkan di bahagian awal Perlembagaan Persekutuan, manakala peruntukan perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong - contohnya perkara 32 - diletakkan di Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Hassan juga menegaskan, menurut undang-undang Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang menolak sistem raja feudal mutlak dan hal itu tercatat melalui Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bertentangan dengan demokrasi

Peruntukan itu, katanya, menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.

“Perkara itu perlu dijelaskan kerana terdapat kecenderungan semasa untuk cuba mengurangkan kebebasan rakyat atau pemimpin untuk bersuara dengan mewujudkan momokan kesalahan mengikut 3R,” katanya lagi.

Sementara itu, badan pemerhati hak asasi manusia Lawyers For Liberty (LFL) turut mengecam tindakan menggunakan Akta Hasutan terhadap Muhyiddin.

Pengarah LFL, Zaid Malek, berkata peranan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu perkara yang tidak boleh diteliti atau dibincangkan secara umum.

"Peruntukan itu dengan jelas menyatakan bahawa Agong mesti melantik seorang perdana menteri yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

"Ia berikutan perbincangan mengenai penentuan keyakinan majoriti tidak boleh dilarang atau disekat," katanya.

Menurut Zaid dalam sistem demokrasi, pelaksanaan tugas atau kuasa perlembagaan tidak boleh berlaku di luar perbincangan atau kritikan.

“Pemimpin PH nampaknya sudah lupa bagaimana mereka bersatu di belakang mendiang Karpal Singh atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan kerana mempersoalkan Sultan Perak dalam menentukan isu kepercayaan menteri besar Perak ketika itu Nizar Jamaluddin.

"Kerajaan pimpinan PH kini telah melampaui batas dan melarang sebarang penelitian terhadap pelepasan kuasa perlembagaan oleh raja atau raja-raja. Ini pada asasnya bertentangan dengan tadbir urus demokrasi.

"Tidak kira kebenaran dakwaan Muhyiddin, tidak ada justifikasi untuk penggunaan Akta Hasutan.

"Undang-undang zaman kolonial kuno ini tidak mempunyai tempat dalam negara yang berperlembagaan dan demokratik," tambahnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS