Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin serah 115 akuan berkanun pada polis
Diterbitkan:  Aug 21, 2024 1:30 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin telah menyerahkan 115 akuan berkanun (SD) yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.

Dia juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan yang bertarikh 21 Nov 2022 daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Wartawan kemudiannya diberikan salinan SD Muhyiddin kepada istana bertarikh 21 Nov 2022. Dia juga menyebut bahawa turut disertakan bersama adalah 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

Bagaimanapun, lampiran SD daripada mereka yang didakwa menyokongnya itu tidak diberikan kepada media, dan wartawan juga tidak dimaklumkan mengenai jumlah ahli Parlimen yang menandatangani SD tersebut.

SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan parlimen yang tergantung.

GPS dan GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin, tetapi kemudiannya menukar sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim susulan titah Al-Sultan Abdullahyang menasihatkan ahli Parlimen untuk membentuk "kerajaan perpaduan".


BACA LANJUT: Fadillah dedah alasan GPS tukar pendirian isu calon PM


Muhyiddin sebelum ini juga menolak tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Pakatan Harapan.

SD dan surat-surat berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan oleh Muhyiddin kepada polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan bahawa dia telah menghina baginda dengan mendakwa dirinya tidak dijemput untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun mendapat sokongan 115 ahli Parlimen - termasuk dirinya sendiri.

Muhyiddin dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di Felda Perasu pada 15 Ogos lalu.

Dia didakwa sebagai berkata, dirinya sudah mendapat 115 sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang membolehkannya diangkat sebagai perdana menteri.

Namun, menurut presiden Bersatu itu, dia tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

Ceramah itu didakwa secara sengaja mencetuskan suasana tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R merujuk raja, agama dan kaum dalam kempen politik.

Tindakan itu membangkitkan kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang bertitah supaya polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin, selain menyebabkan ramai pihak membuat laporan polis.

Muhyiddin, yang enggan bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan kepada polis, mengulangi dalam satu kenyataan bahawa ucapannya semasa ceramah di Nenggiri adalah fakta dan bukan bertujuan untuk memperlekehkan Al-Sultan Abdullah.

“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 SD akuan berkanun ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas PRU15.

“Tiada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya.

Katanya, perkara itu telah berlaku hampir dua tahun lalu, dan sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah menghasut atau mengajak orang ramai untuk menghina atau membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini.

"Saya juga tidak pernah menuntut untuk menjadi perdana menteri," katanya sambil menambah bahawa dia telah mengeluarkan ucapan tahniah kepada Anwar yang menjadi perdana menteri pada 24 Nov 2022.

Selain itu katanya, turut diserahkan adalah dua surat daripada speaker Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi perdana menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2 petang.

"Dengan penjelasan saya kepada pihak polis berserta dokumen yang saya serahkan kepada mereka, saya berharap pihak polis akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang,” katanya.

"Ucapan saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi raja di negara ini. Ia adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) secara sepintas lalu dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.

"Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutar belit ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Ke bawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS