Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Hukum guru guna gambar tentera China untuk poster Bulan Kebangsaan’
Diterbitkan:  Aug 21, 2024 1:15 PM
Dikemaskini: 7:04 AM

Amanah menggesa tindakan wajar dikenakan terhadap guru yang menggunakan gambar tentera China untuk poster pertandingan berkaitan sambutan bulan kebangsaan.

“Hukuman yang sewajarnya mesti diambil agar ia benar-benar menjadi pengajaran kepada semua agar perkara seumpamanya tidak berulang,” kata Pengerusi Biro Pendidikan Amanah Azli Yusof.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang Ahad lalu, menjalankan siasatan dalaman berhubung poster guru itu untuk pertandingan buku skrap anjuran sebuah sekolah menengah.

Setakat Ahad lalu, laporan awal diterima daripada sekolah, guru dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT).

Pengarah JPN negeri Datuk Abdul Said Hussain juga memohon maaf atas “kecuaian” guru itu dan berjanji tindakan sewajarnya akan diambil.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Azli bagaimanapun berkata apa yang berlaku bukan sekadar satu kesilapan.

Malah, katanya, ia tindakan yang “mencemarkan sambutan Bulan Kebangsaan, menghina sumbangan anggota keselamatan tanah air dan mempermainkan kedaulatan negara yang merdeka.”

‘Bimbang ada yang ambil kesempatan’

Dia juga bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan dengan sengaja menyuburkan sentimen perkauman, membangkitkan kegelisahan awam dan menimbulkan keraguan terhadap kestabilan dan keharmonian negara.

Terdahulu, poster itu tersebar luas di media sosial dan menerima kecaman orang ramai.

Guru tersebut juga dilapor memohon maaf, menggantikan dengan poster baru serta menjelaskan dia tidak sengaja menggunakan gambar dari internet itu.

Poster itu pada mulanya dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa oleh guru sekolah itu pada 15 Ogos sebagai makluman untuk pelajar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS