Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Imej tular bukan kes mpox, tetapi cedera peluru tabur
Diterbitkan:  Aug 21, 2024 1:11 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menolak laporan berita yang tular di aplikasi WhatsApp mengenai dakwaan mpox kini merebak di Singapura.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata laporan berita itu adalah tidak benar dan imej berkenaan dipetik daripada artikel berita satu laman sesawang luar negara pada 17 September 2022 yang memparkan imej mangsa kecederaan peluru tabur.

“Usah terpedaya dengan mesej yang disampaikan. Elakkan juga daripada berkongsi mesej ini kepada ahli keluarga atau 'groupchat' yang lain.

“Rujuk sumber rasmi sahaja di platform media sosial KKM iaitu Facebook, Instagram ataupun aplikasi X,” tambahnya.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata kerajaan belum bercadang untuk melaksanakan program vaksinasi bagi penyakit cacar monyet atau Mpox untuk rakyat negara ini.

“Setakat ini kita tak ada pun bercakap tentang vaksin ini dan sekiranya ada pun, kita akan kaji sepenuhnya keperluan berkenaan mpox ini.

“Kalau kita lihat pada garis panduan dan juga cara jangkitan, ia boleh dielak jika individu itu mengambil langkah berhati-hati, umpamanya dengan mengamalkan kebersihan kendiri dan lain-lain.

“Biasanya simptom jangkitan mpox boleh dilihat dengan jelas melalui tanda-tanda fizikal seperti tompok-tompok di badan dan pesakit sendiri boleh merasakan kesannya,” katanya.

Selain itu, Lukanisman berkata Malaysia berhubung rapat dengan semua negara anggota Asean bagi memantau kes jangkitan mpox.

“Semua langkah berjaga-jaga telah diambil oleh agensi-agensi yang berkenaan terutama sekali di pintu masuk imigresen, lapangan terbang dan juga di sempadan serta kita akan rujuk kepada mereka jika ada keperluan,” kata lagi.

Sebelum ini KKM dalam kenyataan memaklumkan sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pengawasan dan sokongan berkaitan Mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi kepentingan antarabangsa untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS