Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hidroelektrik Nenggiri: 1,200 Orang Asli terkesan dipindah mulai pertengahan 2026

Sebanyak 1,200 Orang Asli di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Kuala Wias di Gua Musang yang terkesan dengan pembinaan empangan Hidroelektrik Nenggiri, akan dipindahkan mulai pertengahan 2026.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Muhamad Nazri Pazil berkata pemindahan penduduk Orang Asli itu akan dilakukan secara peringkat selepas empangan hidroelektrik itu siap dibina dan pada masa ini TNB sedang membina rumah mereka di penempatan yang dipilih oleh komuniti berkenaan.

“Ia melibatkan 245 Ketua Isi Rumah (KIR), iaitu 84 KIR di Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias dengan keluasan 720 ekar, dan 161 KIR di Pos Tohoi dengan keluasan 1,337 ekar.

“TNB akan memindahkan Orang Asli sebelum kami menenggelamkan kawasan penempatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak hidroelektrik Nenggiri, di Gua MUsang.

Beliau berkata projek hidroelektrik yang mula dibina pada Mac 2022 dijangka siap sepenuhnya pada November 2027.

Sementara itu, Muhamad Nazri berkata ketika ini kemajuan pembinaan empangan hidroelektrik itu, kini mencapai 40.5 peratus dan sedang berjalan mengikut jadual.

“Pembinaan empangan hidroelektrik ini mempunyai cabaran tersendiri, termasuk banyak tanah runtuh yang berlaku dan kami terpaksa membuat pembaikan di kawasan terlibat.

“Apabila projek empangan itu siap kelak, ia dijangka membuka 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan Orang Asli, termasuk dalam mengendalikan empangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata projek berkenaan juga akan meningkatkan sektor pelancongan dan sosioekonomi di Gua Musang. Contohnya, sektor pelancongan yang boleh dikembangkan di empangan Nenggiri, termasuk boat house seperti di Tasik Kenyir, Terengganu.

Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion itu dijangka siap pada pertengahan 2027, akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi dan berupaya menjana 300 megawatt (MW).

Selain itu, projek ini akan meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia, berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara, serta mengukuhkan usaha untuk memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh diharap untuk rakyat dan negara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS