Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ahli Dewan Negara Roslan Awang Chik meninggal dunia

Bekas Ahli Dewan Negara Datuk Roslan Awang Chik meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat strok, pada awal pagi tadi.

Anak lelakinya, Fadhlan Roslan, 44, berkata Allahyarham Roslan, 73, meninggal dunia pada 2.51 pagi tadi di sisi beberapa ahli keluarga.

Beliau berkata jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman mereka di Batu Buruk, di Kuala Terengganu untuk disolatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), di Kuala Terengganu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sheikh Ibrahim selepas zohor.

"Arwah juga menghidap kanser limfoma sejak dua tahun lalu dan menjalani rawatan kimoterapi di HSNZ," katanya ketika dihubungi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Roslan pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ladang selama satu penggal dari 1995 hingga 1999, dan juga dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bermula 2004 hingga 2010.

Selain itu, Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS