Paling Popular
Terkini
story images
story images

Selepas kejayaan signifikan dengan merampas semula kerusi DUN Nenggiri dalam pilihan raya kecil (PRK) Sabtu lalu, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang bermula hari ini dijangka memberi konotasi tersendiri untuk parti keramat itu tampil lebih yakin mewarnai arena politik tanah air.

Aura dan persembahan Umno dalam PRK di negeri dikuasai PAS itu pastinya memberi kredit besar kepada kepimpinan dan strategi presidennya Ahmad Zahid Zamidi serta pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah.

Walaupun Nenggiri bukanlah satu-satunya kayu ukur kekuatan sebenar Umno, sekurang-kurangnya ia boleh menjadi pencetus kepada iltizam dan tekad di masa-masa mendatang.

PAU kali ini tidak melibatkan pemilihan barisan kepimpinan, sekali gus banyak tumpuan dilihat lebih kepada agenda memperkukuhkan parti dan kepimpinan, perbincangan idea-idea berkait isu semasa, peranan Umno dalam kerajaan perpaduan dan usaha mewujudkan momentum sokongan massa.

Seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara akan berkampung sehingga 24 Ogos di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur dan itu juga sudah tentu akan menjadi mata telinga ahli akar umbi dalam meneliti serta mencerap setiap usul, perbahasan dan amanat-amanat pucuk pimpinan tertinggi.

Malaysiakini menjangkakan beberapa perkara penting mungkin menjadi perbincangan dalam PAU kali ini selain usul-usul yang akan dikemukakan oleh sayap-sayap parti.

Prestasi Zahid dan pasukan

Prestasi Ahmad Zahid selaku Presiden Umno dan Ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dilihat bakal menjadi penilaian serta buah mulut perwakilan sama ada dalam bentuk kritikan, analisa bahkan puji-pujian.

Misalnya pendekatan diambil timbalan perdana menteri itu dalam mengemudi parti ketika Umno memilih menjadi sebahagian daripada parti gabungan kerajaan perpaduan.

Isu-isu yang mewujudkan pertindihan pendapat dan pendekatan tidak selari dengan pendirian parti dalam kerajaan juga menjadi tanggungjawab Ahmad Zahid untuk ditangani.

Situasi itu dapat dilihat antaranya apabila Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini menyatakan menteri Umno telah memberi pandangan kepada kerajaan agar tidak meneruskan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Sebaliknya Ahmad Zahid kemudiannya menjelaskan pandangan itu merupakan pandangan peribadi Mohamad malah parti itu senada dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung rancangan penjualan pegangan MAHB.

Perselisihan seumpama ini dilihat meletakkan suara Umno kurang solid sekali gus mengundang bola tanggung kepada musuh-musuhnya untuk memainkan sentimen politik.

Selain itu, bekas naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob dalam laporan media tempatan beberapa hari lalu antara lain menyatakan kepimpinan Umno ketika ini sememangnya wujud perpecahan yang tidak boleh dinafikan.

Justeru jelas bekas perdana menteri kesembilan itu, PAU 2024 perlu dijadikan sebagai satu platform menyatupadukan ahli dan kepimpinan Umno.

Perjuangan membela Najib, PRU16 dan isu semasa

Sementara itu, PAU 2024 juga akan menyaksikan apakah masih ada suara-suara memperjuangkan nasib bekas presidennya Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara.

Situasi dihadapi bekas perdana menteri itu turut menjadi tanggungjawab yang diletakkan di pundak kepimpinan Umno.

Ahmad Zahid dalam PAU tahun lepas turut menyentuh isu pembelaan terhadap bekas bosnya itu bahkan menegaskan "seorang Najib dipenjara, banyak lagi 'Najib' akan muncul".

Justeru, pentas PAU akan menanti apakah laungan keadilan untuk Najib akan terus bergema atau kian pudar.

Tidak kurang penting juga Dewan Merdeka yang menjadi lokasi perhimpunan itu juga dijangka membuka ruang untuk para perwakilan membahaskan isu hala tuju parti seperti kerjasama politik berdepan pilihan raya umum (PRU) Ke-16, atau isu semasa yang menjadi cabaran mereka dalam kerajaan.

Walaupun Ahmad Zahid sudah memaklumkan bahawa Umno akan terus bekerjasama dengan PH berdepan PRU16, perkara itu dilihat masih boleh diperbahaskan lagi dan ruang di PAU kali ini mungkin akan membangkitkan perkara itu.

Permintaan tertentu juga dijangka akan menjadi agenda seperti isu agihan kerusi bagi mendepani PRU16 contohnya seperti mana dipinta Umno Bahagian Kota Raja supaya diberikan kerusi untuk ditandingi mereka di kawasan parlimen itu, baru-baru ini.

Juga tidak ketinggalan pendirian Umno dalam isu seperti bantahan terhadap komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, isu rasionalisasi subsidi diesel, dan kos sara hidup rakyat akan turut diberi perhatian.

Medan menyerang musuh

PAU 2024 juga kali ini berkemungkinan bukan lagi memperlihatkan Umno yang bersikap defensif, sebaliknya bakal menjadi medan untuk kembali lantang menyerang seteru politiknya.

Dalam senario dan konteks politik semasa - Bersatu adalah musuh ketat Umno dan kontroversi yang melanda pemimpin utamanya Muhyiddin Yassin sudah tentu akan dijadikan sasaran untuk perwakilan Umno menghunus 'keris' ke arah musuh mereka itu.

Lebih-lebih lagi apabila kontroversi itu menyentuh sensitiviti institusi istana, sudah tentu Umno tidak akan berpeluk tubuh sambil melayani pendingin hawa di Dewan Merdeka.

Mengambil semangat sempena sambutan bukan kemerdekaan, Umno sewajarnya meniupkan semangat dalam ahlinya bukan sahaja untuk menyemai nilai-nilai patriotik bahkan terus menjuarai isu-isu rakyat dengan nafas perjuangan 'alif, ba, ta'.

Selepas mengalami tsunami politik 2018, kini bukan lagi masa untuk Umno menoleh kebelakang, walaupun dengan pendekatan-pendekatan tidak popular sekali pun parti itu perlu terus relevan menjadi wadah pilihan rakyat.

Konklusinya, perjuangan Umno kini memperlihatkan jalan yang masih berliku-liku dan panjang di antara hasrat yang mungkin terluah di pentas PAU 2024 dan hal-hal yang belum selesai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS