Paling Popular
Terkini

KES 1MDB | Empat tuduhan salah guna kuasa terhadap Najib Razak cacat kerana tidak menyatakan apakah kepentingan bekas perdana menteri dalam kes tersebut, kata peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam bela Najib itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Najib tidak dapat menyediakan pembelaan yang sewajarnya akibat perkara ini.

Shafee berhujah empat pertuduhan salah guna kuasa tersebut tidak menyebut apakah kepentingan yang didakwa berkaitan dengan peranan Najib sebelum ini sebagai bukan sahaja perdana menteri tetapi juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

"Pihak pendakwaan tidak memfokuskan serangan mereka dalam tuduhan terhadap tertuduh.

"Jika mereka tidak dapat memberi fokus, kami juga tidak dapat memberi fokus dalam pemeriksaan balas (terhadap 50 saksi pendakwaan)," kata Shafee kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding hujahan lisan hari ini dalam kes jenayah terhadap Najib mengenai empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Shafee kemudian menyasarkan satu daripada pertuduhan salah guna kuasa, yang melibatkan dakwaan penerimaan RM90.8 juta antara 31 Okt dan 20 Nov 2012.

Tuduhan tersebut mendakwa antaranya Najib telah meluluskan pemerolehan 1MDB terhadap penjana kuasa bebas (IPP) Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Peguam itu berhujah tuduhan jenayah tersebut tidak menyatakan sama ada Najib mempunyai sebarang kepentingan yang didakwa dalam dua IPP tersebut.

Shafee berkata tuduhan-tuduhan tersebut cacat kerana ia tidak membezakan antara pelbagai peranan Najib sebelum ini dan bagaimana tertuduh didakwa menyalahgunakan kuasa dalam setiap peranan tersebut.

"Ini tindakan berlebihan yang menghancurkan kes mereka (pendakwaan) sendiri, seperti menggunakan penukul besar untuk bunuh seekor lalat," kata peguambela Najib.

Perbicaraan di hadapan Sequerah bersambung esok.

Najib berdepan bukan sahaja empat pertuduhan salah guna kuasa tetapi juga 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan RM2.27 bilion dari 1MDB.

Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, bekas ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Mengenai 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki 1MDB sepenuhnya dengan Najib adalah pengerusi lembaga penasihat.

Tertuduh pertama kali didakwa pada 20 Sept 2018, dan perbicaraan jenayahnya bermula pada 28 Ogos 2019.

Seramai lima puluh saksi memberi keterangan untuk pihak pendakwaan, termasuk bekas peguam 1MDB Jasmine Loo.

Loo didakwa menjadi sebahagian daripada kelompok dalaman ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low).

Pendakwa raya menuduh Najib menerima RM2.27 bilion yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara yang bermasalah itu antara 2011 dan 2014.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB dan sebarang salah laku yang mungkin berlaku adalah semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli pengurusan 1MDB.

Najib yang juga bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB juga sebelum ini berhujah bahawa Raja Abdullah dari Arab Saudi menjanjikan sumbangan kewangan kepada tertuduh untuk tujuan politik.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS