Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganggur didakwa bunuh ibu, bapa dan anak saudara
Diterbitkan:  Aug 20, 2024 2:11 PM
Dikemaskini: 6:11 AM

Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Muar hari ini atas tiga pertuduhan iaitu membunuh ibu, bapa dan anak saudara perempuannya di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh pada 9 Ogos lalu.

Azman Mohamed Nor, 48, mengangguk tanda faham selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan majistret Suzana Mokhtar.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut terletak bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Ara Ab Hamit, 76; Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; dan Noradriana Nor Hasyim, 11; dalam kejadian di antara 1 pagi dan 3 pagi pada 9 Ogos.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun.

Sekiranya tidak dihukum mati pesalah hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan forensik, bedah siasat dan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Muar, Azman mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lagi anak saudaranya, Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu sebagai senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di lokasi, masa dan hari yang sama dengan tiga pertuduhan membunuh itu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.

Hakim Nariman Badruddin menetapkan 12 Sept depan untuk jatuh hukum sementara menunggu pihak pendakwaan melengkapkan fakta kes. Bagaimanapun Azman tidak dibenarkan mendapat sebarang jaminan kerana terbabit dengan tiga pertuduhan membunuh.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohamad Arif Marzuki dan Danial Munir, manakala Azman tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas, bersama cucu perempuan mereka maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh kira-kira jam 1.30 pagi.

Seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata polis sedang mengesan saksi utama dikenali sebagai Azman yang juga anak kepada warga emas terbabit dan dikatakan tinggal bersama namun menghilangkan diri selepas kejadian tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS