Pemuda Bersatu hari ini menyalahkan lidah rasmi PKR, Suara Keadilan, sebagai punca Muhyiddin Yassin menjadi sasaran kemarahan orang ramai.
Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal malah berkata Suara Keadilan sudah melakukan perbuatan sebegitu untuk mencetuskan ketegangan beberapa kali sebelum ini.
"Punca berlaku ketegangan, puncanya bukan kami (Bersatu).
"Puncanya Suara Keadilan, portal yang menghasut dan memfitnah Muhyiddin Yassin, memfitnah PN," katanya kepada media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli parlimen Machang membuat laporan polis untuk mengadukan klip ucapan Muhyiddin sewaktu berkempen di Nenggiri baru-baru ini.
Laporan itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN, Akmal Zahin Zainal Zahir, ke atas YouTube menggunakan nama akaun Suara Keadilan.
Pemuda Bersatu mendakwa rakaman video berkenaan disunting untuk memburukkan pemimpin PN terbabit sekali gus dikaitkan dengan isu sensitif membabitkan raja Melayu, agama dan bangsa (3R).
"Dan ini bukan kali pertama tuan-tuan, sudah banyak kali," dakwa Wan Ahmad Fayhsal lagi.
Mengulas lanjut, dia mengulangi kenyataan presidennya itu semalam dengan mendakwa Muhyddin hanyalah menyebutkan fakta iaitu Pengerusi PN terbabit mendapat sokongan 115 ahli parlimen sekali gus melayakkan dia menjadi perdana menteri ke-10.
Wan Ahmad Fayhsal mendakwa dia adalah salah seorang daripada 115 ahli parlimen yang menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong Muhyiddin menjadi perdana menteri.
Dia juga mendakwa wakil Istana Negara sudah menerima dokumen berkenaan.
"Pokoknya dalam inti pati ceramah Tan Sri Muhyiddin hari tu hanyalah menyatakan fakta.
"Tidak ada sama sekali Tan Sri Muhyiddin menyinggung, memperlekeh atau mempersoalkan kuasa yang diperuntukkan di bawah perlembagaan kepada Agong yang ke 16-ketika itu," katanya.