Paling Popular
Terkini

ULASAN l Bila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dedahkan dia sebagai dalang kejatuhan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh, pemimpin yang menghampiri usia seabad itu terus melatah.

Yalah, Mahathir mana boleh kena cuit, dia mana pernah nak mengaku salah.

Mahathir terus balas kononnya Zahid bukan hero. Mungkin dia nak cakap dirinyalah hero yang berjaya tumbangkan Umno/BN pada 2018 - parti yang memberikannya kuasa dan kekayaan selepas puluhan tahun.

Tapi Mahathir tak puas lagi. Dia nak pula haramkan Umno. Dia panggil Zahid; minta Zahid bubarkan Umno dan bawa semua pemimpin serta ahli Umno masuk Bersatu.

Tetapi Zahid yang baru jadi presiden Umno selepas kalahkan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak berganjak. Zahid tak takut nak lawan sesiapa pun yang cuba ganggu gugat Umno.

Zahid tegas dengan keputusan dan tak mahu ikut cakap Mahathir. Balanya, Mahathir balas dendam dan terus kenakan 87 pertuduhan politik ke atas Zahid.

Kalau ramai nak tahu, nak lawan Mahathir kena ada keberanian luar biasa dan bersedialah untuk berdepan dengan apa-apa serang balas daripada Mahathir.

Sebab perangai Mahathir dari dulu lagi, dia nak semua orang dengar cakap dia. Siapa yang ingkar, melawan pasti akan kena singkir.

Macam nasib yang menimpa arwah bapa saya, Tok Mat Rahmat (Mohamed Rahmat). Beliau sangka apabila digugurkan dari jawatan menteri kabinet pada 1999, Mahathir akan beri beliau sebarang jawatan lain.

Malangnya, beliau tak dapat apa-apa dan lebih teruk lagi beliau digugurkan jawatan sebagai setiausaha agong Umno kerana dituduh memihak kepada Anwar Ibrahim dalam pemilihan Umno 1996.

Macam itu saja Mahathir buang orang yang banyak berjasa kepada parti dan dirinya.

sMalah Mahathir langsung tak hargai usaha Tok Mat Rahmat melalui Program Semarak dan penubuhan Umno Sabah untuk menghidupkan semula Mahathir yang sudah menjadi 'bangkai' di mata orang Melayu apabila Umno diharamkan pada tahun 1988.

Akhirnya imej Mahathir dan Umno dipulihkan dengan kemenangan besar pada PRU 1995 disebabkan pertolongan undi bukan Melayu hasil usaha keras Tok Mat Rahmat.

Zahid pun tahu risiko bila dia enggan bubarkan Umno seperti yang Mahathir arah. Tapi disebabkan Zahid sayangkan Umno, sedar betapa besarnya jasa Umno kepada orang Melayu dan Malaysia. Dia redah dengan hati kering.

Zahid tidak mahu parti yang jadi tunjang kemerdekaan dibunuh dan dikuburkan oleh seorang pengkhianat serta pendendam yang tak kenang budi.

Walaupun Mahathir gunakan kuasa dia untuk tuduh Zahid, nak malukan Zahid, jatuhkan kredibilit Zahid; tapi dia lupa Zahid sebenarnya seorang ahli politik yang penuh dengan seni.

Dalam keadaan Mahathir nak kuburkan Umno, Zahid terus atur langkah bersama dengan ‘anak didik’ Mahathir sendiri, Muhyiddin Yassin yang juga terkenal dengan sikap pengkhianat untuk jatuhkan Mahathir.

Apatah lagi bila Muhyiddin sendiri nampak sangat kemaruk nak menjadi perdana menteri gantikan Mahathir, maka ia memudahkan kerja Zahid dan orang lain.

Zahid buat semua itu bukan sebab dia nak jadi perdana menteri tapi sebab nak selamatkan Umno daripada jadi mangsa dendam Mahathir.

Saya hendak ingatkan orang Umno tentang siapa selama ini yang berkorban diri, kudrat dan harta benda semata-mata untuk memulihkan semula Umno dari kekejian, tohmahan dan cacian yang dilontarkan oleh pembangkang ketika itu.

Zahid jugalah orangnya yang berkorban demi perjuangan parti Umno.

Kalaulah Zahid ikut cakap Mahathir ketika itu dan bawa semua orang Umno masuk Bersatu, maka nasib Bersatu juga akan jadi macam Umno terus ke laut sebab parti itu sekarang ini pun macam hidup segan mati tak mahu.

Jadi kalau Mahathir nak cakap kononnya Zahid bukan hero pun tak apa sebab Zahid bukan kemaruk nama dan glamour macam Mahathir.

Cuma bagi saya, Mahathir pula adalah hero yang ditendang. Ditendang oleh Muhyiddin, ditendang oleh rakyat Langkawi sendiri sampai hilang deposit pada PRU15 dan ditendang oleh generasi terdahulu serta hari ini yang melihatnya sebagai pengkhianat, maharaja kecil dan pemecah belah orang Melayu.

Rabu nanti Perhimpunan Agong Umno (PAU) akan berlangsung untuk kesekian kalinya. Pastinya Mahathir akan rasa lebih jaki kerana cita-cita jahatnya untuk menamatkan PAU pada 2018 tak kesampaian angkara Zahid. Mahathir kempunan lagi.

Jadi di usia yang semakin ke hujung ni, saya doakan semoga Allah bukakan pintu hati Mahathir untuk dia sedar bahawa sudah banyak kerosakan yang dilakukan selama ini. Insaflah wahai Mahathir.

Nota kaki:

Kalau kita lihat dalam sejarah politik Malaysia, Umno berdiri megah sebagai parti yang mengalami jatuh bangun dan siri pengkhianatan yang cukup banyak.

Tidak semua pemimpin Umno ada rasa ikhlas sayangkan parti.

Ada yang lebih suka ambil jalan berliku, guna segala muslihat politik untuk lemahkan Umno dari dalam. Tapi yang lucunya, walaupun kerja jahat mereka nampak macam sangat berstrategi dan licik, keputusan akhir usaha ini tidaklah seberapa - Umno tetap utuh.

Bekas pemimpin Umno yang terkenal dengan sembang kencang dan agenda sulit memang selalu saja muncul dengan pelbagai langkah 'bijak'.

Mungkin strategi pertama mereka adalah letakkan laba peribadi melebihi perjuangan parti. Bermula dari Johor sampai ke Utara terus ke Kelantan. Wowww licik betulkan!

Dengan harapan dapat kaut sokongan, mereka mula bersuara lantang menentang keputusan parti, dengan harapan seluruh ahli akan berpecah belah.

Malangnya, yang terpecah dan terbarai bukanlah parti, tapi si pengkhianat itu sendiri yang terbuang dari parti.

Tidak cukup dengan itu, beberapa bekas pemimpin ini juga dengan gigihnya cuba rosakkan imej parti dengan bawa isu-isu dalaman ke media.

Langkah ini sudah tentu mendapat tepukan gemuruh dari pihak lawan. Namun, seperti yang dijangka, ia hanya menunjukkan kepada rakyat betapa parti itu sebenarnya masih kukuh sehingga perlu dijadikan sasaran oleh musuh dalam selimut.

Ada juga yang pilih untuk keluar parti, kononnya sebagai tanda protes terhadap hala tuju yang diambil oleh kepimpinan semasa. Tetapi, apa yang mereka tidak sedar adalah mereka yang keluar sebenarnya bawa satu rahmat kepada Umno kerana mereka bawa bersama segala masalah, daki kotoran dan nanah yang mereka cipta sendiri untuk merosakkan Umno.

Dan selepas itu Umno lebih tenang, aman dan fokus untuk kembali ke landasan asal. Betapa hebatnya strategi itu, merosakkan diri sendiri dengan harapan orang lain turut rosak!

Kini, setelah bertahun-tahun mencuba, hasilnya jelas: Umno tetap berdiri teguh. Parti itu mungkin terkesan oleh serangan demi serangan dari luar dan dalam, tetapi usaha-usaha untuk meruntuhkannya oleh bekas pemimpin sendiri termasuk yang lebih 30 tahun duduk makan jasa Umno, hanyalah satu siri kegagalan yang ‘cemerlang’.

Sinisnya, usaha mereka ini akhirnya hanya menguatkan lagi semangat juang ahli-ahli Umno yang sebenar.

Dan kepada bekas pemimpin atau pemimpin dalam Umno yang masih cari jalan nak lemahkan Umno, mungkin sudah tiba masanya untuk berhenti.

Bukankah lebih baik gunakan masa dan tenaga untuk perkara yang lebih bermanfaat? Kerana setakat ini, usaha anda lebih kepada bahan lawak politik berbanding strategi yang berhasil.

Zahid sudah buktikan hala tuju Umno seterusnya dalam era politik kerajaan campuran yang baru tapi dipimpin oleh Umno sebagai parti dominan.


NUR JAZLAN MOHAMED adalah bekas ahli Parlimen Pulai, Johor. Dia juga adalah timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Johor.

Tulisan ini asalnya dimuatnaikkan di laman sosialnya. Ia adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS