Badan Peguam Malaysia mengkritik cadangan pindaan Perlembagaan yang akan meletakkan soal kebajikan Orang Asli di bawah tanggungjawab bersama persekutuan dan negeri.
Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata cadangan yang dibuat Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor itu boleh merumitkan usaha melindungi dan mengiktiraf tanah dan sumber Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
“Terdapat kuasa Persekutuan yang mencukupi untuk menyelesaikan isu-isu tanah Orang Asli. Contoh undang-undang dan dasar yang telah diluluskan melalui Majlis Tanah Negara termasuklah Kanun Tanah Negara, dan yang lebih berkaitan lagi, dasar mengenai hak milik tanah Orang Asli pada tahun 2009.
“Kami percaya cadangan untuk memasukkan perkara berkaitan dengan Orang Asli ke dalam Senarai Bersama tidak akan menambah nilai kepada undang-undang kerana setiap negeri masih boleh bertindak sendiri berkenaan dengan perkara tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Senarai Bersama terletak di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, yang menyenaraikan perkara di bawah bidang kuasa kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri.
Dalam jadual itu juga, hal ehwal Orang Asli terletak di bawah bidang kuasa persekutuan, manakala soal tanah di bawah kerajaan negeri.
Pada bulan lalu, Bernama memetik Ramli sebagai berkata, soal tanah Orang Asli terkesan dengan pembahagian bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Justeru, dia mencadangkan perkara itu dipindahkan ke Senarai Bersama.
Bagaimanapun, Ezri berkata Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan persekutuan untuk mengambil tanah dari negeri untuk tujuan persekutuan, termasuk yang berkaitan dengan Orang Asli.
“Di samping itu, di bawah Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan persekutuan mempunyai kuasa perlembagaan untuk meluluskan dasar tanah di seluruh Semenanjung Malaysia melalui persetujuan dengan Kerajaan Negeri di Majlis Tanah Negara,” katanya lagi.
Sebelum ini, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia turut mempertikai pandangan Ramli berhubung isu tanah adat Orang Asli, dengan berkata pelbagai jalan perundangan boleh digunakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengiktiraf tanah adat Orang Asli.